
Akses media sosial pengguna bawah 16 tahun akan disekat
Kerajaan dalam proses mengawal selia platform dalam talian bagi menyekat pengguna bawah usia 16 tahun daripada mengakses kandungan dan perlu memastikan kandungan dipaparkan kepada pengguna bawah 18 tahun bersesuaian dengan tahap umur mereka.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dengan tumpuan kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk kandungan yang bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.
"Di bawah perundangan subsidiari ini, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna di bawah umur 16 tahun dan wajib memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun adalah bersesuaian dengan tahap umur mereka.
"Selain itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) sama ada Kementerian Komunikasi bersedia untuk menggubal undang-undang bagi menyekat atau melarang remaja di bawah umur 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti FaceBook, Instagram, TikTok dan lain-lain.
Fahmi menegaskan, bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pemberi perkhidmatan dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian mereka, pemberi perkhidmatan akan dikehendaki untuk menyediakan suatu pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866.
Katanya, kesemua undang-undang yang telah digubal itu adalah usaha berterusan kerajaan memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga serta golongan rentan yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian.
"Akta 866 digubal bagi mengawal selia kandungan memudaratkan dan mengadakan peruntukan bagi kewajipan serta obligasi pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan.
"Kementerian Komunikasi melalui MCMC sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengawal kandungan dalam talian yang memudaratkan serta melindungi golongan rentan khususnya remaja dan kanak-kanak," katanya.
Untuk tujuan tersebut juga, Fahmi memaklumkan, beberapa undang-undang berkaitan telah digubal dan dilaksanakan termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588.
"Langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, bertanggungjawab dari segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma.
"Bagi menyokong kerangka pelesenan ini, MCMC telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial," ujar beliau.
Tambah beliau, kod terbabit menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang memudaratkan, termasuk keperluan untuk melaksanakan langkah-langkah verifikasi umur, menyediakan tetapan kawalan bagi ibu, bapa dan penjaga yang efektif serta memperkasa fungsi untuk pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan mudarat.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang mengawal selia platform dalam talian untuk menyekat pengguna bawah umur 16 tahun daripada mengakses kandungan tidak sesuai
- MCMC membangunkan perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bagi perlindungan kanak-kanak dalam talian
- Pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan kandungan bersesuaian dengan pengguna di bawah 18 tahun dan menyediakan kawalan ibu bapa
- Akta 866 digubal untuk mengawal selia kandungan memudaratkan dan memastikan penyedia perkhidmatan memenuhi obligasi keselamatan dalam talian
- Penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial mesti mendapatkan lesen di bawah Akta 588, mematuhi kod tatalaku untuk melindungi kanak-kanak dan remaja