Impak banjir terhadap ekonomi negara
Malaysia sekali lagi diuji dengan cabaran besar apabila hampir semua negeri terkesan oleh banjir besar yang berlaku akibat musim tengkujuh.
Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing, namun keamatan hujan kali ini mencatatkan rekod baharu, menyebabkan banyak kawasan rendah ditenggelami air dalam tempoh yang singkat.
Keadaan ini menyebabkan kemusnahan harta benda, kehilangan tempat tinggal dan gangguan kepada kehidupan harian rakyat.
Banjir tidak sekadar membawa kesan fizikal seperti kerosakan infrastruktur dan harta benda, namun juga memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi negara.
Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), sementara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) berhempas-pulas menyediakan bantuan segera kepada mangsa.
Namun, persoalan utama yang timbul adalah bagaimana banjir ini mempengaruhi pelbagai sektor ekonomi yang menjadi tunjang kepada kelangsungan negara.
Impak kepada infrastruktur dan perkhidmatan asas
Banjir yang meluas memberi kesan yang sangat serius terhadap infrastruktur dan perkhidmatan asas di kawasan terjejas.
Jalan raya, jambatan dan kemudahan awam seperti bekalan elektrik, air bersih dan telekomunikasi mengalami kerosakan yang besar di negeri Kelantan akibat banjir.
Di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang banyak jalan utama terputus dan ditutup akibat banjir yang mengakibatkan lumpur dan runtuhan tanah.
Hal ini bukan sahaja menjejaskan perhubungan antara bandar dan luar bandar tetapi juga menghalang usaha-usaha bantuan kecemasan daripada sampai ke kawasan yang memerlukan.
Kerosakan ini memerlukan kos pembaikan yang tinggi serta memaksa kerajaan memperuntukkan dana tambahan bagi membaik pulih infrastruktur yang terjejas.
Keadaan ini akan memberi tekanan kepada belanjawan negara yang sudah sedia terbeban.
Dalam sektor pengangkutan pula, perkhidmatan kereta api, bas dan pengangkutan awam yang lain terpaksa dihentikan sementara, menyebabkan gangguan besar kepada pergerakan manusia dan barang.
Penangguhan perkhidmatan ini bukan sahaja menjejaskan individu yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke tempat kerja atau sekolah, tetapi juga menyebabkan kelewatan penghantaran barang keperluan seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan ke kawasan yang terjejas.
Situasi ini akan menambah tekanan kepada rantaian bekalan, mengakibatkan kekurangan bekalan di pasaran tempatan dan seterusnya meningkatkan harga barang keperluan asas.
Dalam jangka panjang, impak ini turut menjejaskan ekonomi tempatan dan negara.
Kos pembaikan infrastruktur yang tinggi perlu diimbangi dengan pengurangan perbelanjaan di sektor lain, yang mungkin melibatkan penangguhan projek-projek pembangunan.
Selain itu, gangguan kepada logistik dan pengangkutan turut menyebabkan kerugian besar kepada sektor perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana yang bergantung kepada mobiliti barang dan perkhidmatan.
Sektor pertanian dan perikanan terjejas
Banjir yang meluas turut memberi kesan yang besar dan mendalam kepada sektor pertanian.
Tanaman seperti padi, kelapa sawit dan getah mengalami kerosakan yang sangat teruk akibat air banjir yang melimpah dan bertakung untuk tempoh yang lama.
Banyak kawasan sawah padi ditenggelami air sepenuhnya, menyebabkan tanaman yang hampir matang untuk dituai musnah.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebanyak 4,893.73 hektar kawasan pertanian terjejas akibat bencana banjir yang melibatkan 2,269 petani serta kerugian kira-kira RM22,823,601.
Para petani bukan sahaja kehilangan hasil tuaian mereka, tetapi juga menghadapi kerugian besar dalam bentuk kos pelaburan awal seperti benih, baja dan racun perosak yang tidak dapat dikembalikan.
Situasi ini dijangka akan meningkatkan kos pengeluaran makanan dalam jangka masa panjang, yang seterusnya membawa kepada kenaikan harga barang keperluan asas seperti beras.
Sektor perikanan turut menghadapi cabaran yang besar akibat banjir dan keadaan cuaca yang buruk.
Nelayan di kawasan pesisir pantai seperti di negeri Terengganu, tidak dapat turun ke laut selama beberapa minggu akibat ombak besar dan berisiko menghadapi ribut.
Keadaan ini menyebabkan bekalan ikan segar di pasaran berkurangan mengakibatkan harga ikan meningkat dan menambah beban kepada pengguna.
Selain itu, banyak kolam ternakan ikan di kawasan pedalaman terjejas apabila ikan-ikan ternakan dibawa hanyut oleh arus deras atau mati akibat pencemaran air banjir.
Keadaan ini menambah lagi tekanan kepada industri akuakultur, yang sudah terjejas akibat cabaran seperti kos makanan ikan yang tinggi.
Impak banjir kepada sektor pertanian ini bukan sahaja memberi kesan langsung kepada ekonomi petani dan nelayan, tetapi juga memberi kesan domino kepada seluruh rantaian bekalan makanan negara.
Kekurangan bekalan makanan asas seperti beras, sayur-sayuran dan ikan akan meningkatkan import makanan, sekali gus memberi tekanan kepada imbangan perdagangan negara.
Lebih buruk lagi, gangguan ini boleh menyebabkan ketidakstabilan harga makanan di pasaran, yang akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup.
Impak kepada kesihatan awam dan produktiviti
Banjir yang meluas juga memberi kesan kepada kesihatan awam, khususnya dalam peningkatan risiko penyakit berjangkit dan masalah kesihatan lain yang berkaitan.
Apabila air banjir melimpahi kawasan kediaman, ia membawa bersama bahan buangan, sisa toksik dan bakteria berbahaya, yang menyumbang kepada penyebaran penyakit bawaan air seperti Leptospirosis.
Air yang bertakung juga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang akan meningkatkan risiko jangkitan penyakit seperti denggi.
Selain itu, kekurangan akses kepada air bersih dan makanan yang selamat menyebabkan risiko keracunan makanan dan dehidrasi, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas.
Selain kesan kepada kesihatan awam, banjir juga memberi impak kepada produktiviti masyarakat, khususnya di kawasan yang terjejas teruk.
Gangguan kepada kehidupan harian seperti kerosakan tempat tinggal, kehilangan harta benda dan pemindahan ke pusat perlindungan sementara menyebabkan ramai pekerja tidak dapat menjalankan tugas mereka seperti biasa.
Sektor-sektor yang bergantung kepada kehadiran pekerja, seperti perkilangan, perkhidmatan dan pertanian, mengalami kerugian besar akibat kekurangan tenaga kerja.
Ramai pekerja juga kehilangan pendapatan harian, terutama mereka yang bekerja secara kontrak atau bergaji harian, yang menambah lagi kesan ekonomi kepada keluarga mereka.
Langkah-langkah kerajaan dan masyarakat
Kerajaan dan masyarakat telah mengambil pelbagai langkah proaktif untuk membantu mangsa banjir serta memulihkan ekonomi dan kehidupan masyarakat yang terjejas.
Langkah- langkah ini merangkumi inisiatif berskala besar di peringkat kebangsaan hingga usaha sukarela di peringkat komuniti.
Kerajaan mengambil peranan utama dalam menangani impak bencana banjir dengan memperkenalkan pelbagai program dan dasar untuk membantu mangsa.
Antara langkah yang diambil adalah pemberian bantuan kewangan melalui Pakej Bantuan Banjir iaitu Bantuan Kewangan Ihsan dan Bantuan Kewangan Ihsan Kematian.
Bantuan Kewangan Ihsan adalah sumbangan sebanyak RM 1000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana dan berpindah atau berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Manakala Bantuan Kewangan Ihsan Kematian pula adalah sumbangan sebanyak RM 10,000 untuk waris kepada mangsa yang meninggal dunia akibat bencana.
Bantuan ini bukan sahaja dapat meringankan beban mangsa, tetapi juga berfungsi sebagai langkah pemulihan awal untuk memulihkan ekonomi tempatan.
Selain itu, kerajaan juga memberi bantuan kepada para petani dan peladang yang terjejas akibat banjir, khususnya di negeri Kelantan dan Kedah.
Bantuan ini akan diberi mengikut peruntukan kementerian sedia ada bagi menyuntik modal mereka untuk pusingan tanaman seterusnya serta meningkatkan pengeluaran hasil tanaman.
Di peringkat masyarakat pula, semangat gotong-royong dan solidariti jelas dilihat melalui pelbagai usaha sukarela.
Pelbagai pihak, termasuk individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan syarikat swasta berganding bahu untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir.
Bantuan yang diberikan meliputi pengumpulan dan pengedaran makanan, pakaian, barangan keperluan asas serta peralatan tempat tinggal seperti tikar dan selimut.
Selain bantuan material, masyarakat juga menyediakan sokongan emosi kepada mangsa banjir, terutama mereka yang kehilangan ahli keluarga, tempat tinggal dan sumber pendapatan.
Kumpulan kaunselor sukarela dan aktivis sosial turut hadir di pusat perlindungan sementara untuk memberikan sokongan psikososial dan membantu mangsa menangani trauma akibat bencana.
Banjir tahun ini mengingatkan betapa pentingnya persediaan menghadapi bencana alam.
Pelaburan dalam sistem amaran awal, pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan risiko bencana perlu ditingkatkan.
Dalam masa yang sama, pemulihan ekonomi memerlukan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bagi memastikan kesan jangka panjang bencana ini dapat diminimumkan.
Banjir bukan sahaja isu alam sekitar, tetapi turut menguji daya tahan ekonomi negara.
Dengan langkah strategik dan pengurusan berkesan, Malaysia mampu bangkit lebih kuat untuk menghadapi cabaran masa depan.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Chea Zi Yee
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my