Memperingati peristiwa peperangan Azerbaijan dan Armenia
Azerbaijan atau nama rasminya dipanggil Republik Azerbaijan merupakan sebuah negara yang terletak di wilayah Kaukasus di persimpangan antara Eropah Timur dan Asia Barat.
Umumnya, negara ini mempunyai sejarah yang kaya dan panjang, melibatkan pelbagai empayar termasuk Empayar Parsi, Empayar Rom, dan Empayar Rusia.
Negara ini juga telah mencapai kemerdekaan dari Kesatuan Soviet pada tahun 1991.
Maka, budaya negara ini banyak dipengaruhi oleh kombinasi ketiga-tiga empayar besar tersebut, sepertimana dapat dilihat dalam muzik tradisional mereka seperti mugham, tarian (Yalli dan Lezginkadan), serta perayaan seperti Novruz (perayaan yang disambut pada hari ekuinoks musim bunga pada sekitar 21 Mac).
Saya Muhammad Dzul Aiman Zulkefly, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah mewakili Malaysia Bersama saudari Nazera Roslan, Presiden Majlis Belia Labuan dalam menghadiri persidangan OIC-Youth Capital pada 3 hingga 6 Jun 2024 di Shusha, Azerbaijan yang telah dihadiri seramai 129 pemimpin belia dari 57 negara OIC.
Persidangan tersebut telah membincangkan isu perubahan iklim dalam sesi International Leadership and Diplomacy Conference dan NextGen: Social Innovation.
Selain itu, para peserta berpeluang untuk mengadakan lawatan di sekitar Shusha bagi melihat dan mendengar penerangan peristiwa yang baru sahaja tamat di sana mengenai konflik peperangan Azerbaijan dengan Armenia.
Secara ringkasnya, Shusha adalah sebuah bandar bersejarah besar di wilayah Karabakh.
Semasa konflik pertama pada awal 1990-an, Shusha berada di bawah kawalan pasukan etnik di Armenia.
Ramai penduduk Azerbaijan yang tinggal di bandar ini dipaksa untuk berpindah ke kawasan lain dan menjadi pelarian dalaman (internally displaced persons).
Pada tahun 2020, Bandar Shusha menjadi sasaran utama kerana lokasinya strategik yang juga merupakan jalan penghubung antara bandar-bandar utama dan Armenia.
Shusha juga dilihat sebagai simbolik bagi Azerbaijan dan bandar tersebut penuh dengan sumber alam yang dapat menjana ekonomi negara.
Pada 10 November 2020, tentera Azerbaijan telah berjaya menawan semula Shusha dalam Perang Patriotik 44 Hari.
Selepas kemenangan dalam perang tersebut, kerajaan Azerbaijan telah melakukan usaha besar-besaran untuk membangunkan semula Shusha yang digelar mutiara Karabakh.
Projek-projek pembinaan semula termasuk infrastruktur, bangunan awam, dan tapak-tapak bersejarah untuk memulihkan bandar ini sebagai pusat kebudayaan serta sejarah.
Shusha sememangnya terkenal dengan anak-anak tempatan mereka yang telah menyumbang kepada bidang politik, sastera, muzik, sains, dan budaya.
Kini Shusha telah menjadi simbol kemenangan dan identiti kebudayaan bagi Azerbaijan.
Peserta OIC-Youth Capital juga berpeluang untuk mengunjungi monumen Molla Penah Vaqif yang merupakan seorang penyair, diplomat dan juga tokoh kebudayaan terpenting di Azerbaijan.
Karyanya juga telah mempengaruhi banyak penyair dan penulis berikutnya.
Monumen yang dibina itu adalah simbolik bagi memperingati dan menghormati sumbangannya.
Bagaimanapun, monumen tersebut mengalami kerosakan semasa konflik dan paparan ini adalah monumen yang telah dibaik pulih.
Secara keseluruhannya, Shusha berada dalam fasa pemulihan dan pembinaan semula selepas konflik terbaru, dengan fokus lebih besar dari kerajaan Azerbaijan untuk memulihkannya sebagai pusat kebudayaan serta sejarah bertaraf dunia.
Antara inisiatif dilancarkan adalah menganjurkan kembali festival muzik Khari Bulbul yang dahulunya menjadi tradisi Karabakh sehingga tercetusnya konflik di antara Azerbaijan dan Armenia.
Tahun 2024 merupakan tahun istimewa untuk Shusha yang mendapat gelaran sebagai Kota Kebudayaan Dunia Islam.
Walaupun begitu, ketegangan politik dan keselamatan di rantau ini terus mempengaruhi keadaan di bandar tersebut.
Tuntasnya, Azerbaijan adalah sebuah negara yang kaya dengan sejarah, budaya, dan sumber semula jadi, menjadikannya sebuah destinasi menarik untuk dikunjungi serta dikaji.
Maklumat Penulis
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Muhammad Dzul Aiman Zulkefly
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my