Pemeriksaan stok bekalan barang keperluan termasuk pemantauan harga secara berkala perlu dikekalkan bagi mengelak peniaga yang tidak bertanggungjawab mengulangi kesalahan mereka.
Pemeriksaan stok bekalan barang keperluan termasuk pemantauan harga secara berkala perlu dikekalkan bagi mengelak peniaga yang tidak bertanggungjawab mengulangi kesalahan mereka.

Mengapa suka sorok barangan keperluan dalam pasaran?

18 Apr 2024 08:00am

Sikap peniaga yang gemar menyorok barangan keperluan dalam pasaran semakin berleluasa sehinggakan isu ini sering kali muncul di kaca televisyen.

Realitinya, aktiviti ini sering dijalankan pada musim perayaan terutamanya musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Para pembekal yang awal-awal lagi telah dimaklumkan tentang harga barang bakal naik menyebabkan mereka menyorokkan barangan itu di dalam stor sehingga kerajaan mengumumkan harga barang bakal naik. Antaranya adalah barangan minyak masak.

Sekiranya perkara itu berlaku, sudah tentu nilai harga barang tersebut sukar untuk diturunkan. Kesannya, untung akan berpihak kepada peniaga.

Dari sudut ekonomi, antara sebab harga barangan meningkat adalah nilai mata wang Malaysia yang sudah jatuh.

Apabila pengguna lebih fokus mencari barang yang lebih murah menyebabkan nilai import masuk ke dalam negara lebih banyak daripada nilai eksport ke luar negara.

Kenaikan harga barangan secara bertali arus juga bukan sahaja membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, bahkan dibimbangi isu jenayah semakin berleluasa dalam masyarakat di Malaysia.

Akibat daripada kenaikan harga barangan yang tidak terkawal, dibimbangi berlaku peningkatan membabitkan tekanan emosi dalam kalangan masyarakat yang terhimpit kenaikan kos sara hidup dan boleh mengundang kegiatan jenayah termasuk ragut, rompakan, keruntuhan rumah tangga dan masalah sosial.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri Melaka (KPDN) telah memberi amaran kepada peniaga di negeri itu agar tidak mengambil kesempatan menyorok bekalan makanan.

Menurut Pengarahnya, Norena Jaafar, golongan peniaga yang melakukan kesalahan menyorok bekalan barangan bersubsidi akan dikenakan tindakan.

Hal itu kerana terdapat banyak aduan yang diterima daripada orang awam mengenai tindakan tidak bertanggungjawab peniaga terbabit menyorok barangan keperluan.

Dalam keadaan mengaut keuntungan jangan terlalu melampau hingga menindas dan membebankan pengguna.

Berdasarkan pemeriksaan dan operasi KPDN, peniaga mula sedar dan tidak berani untuk menyorok bekalan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Pemeriksaan stok bekalan barang keperluan termasuk pemantauan harga secara berkala perlu dikekalkan bagi mengelak peniaga yang tidak bertanggungjawab mengulangi kesalahan mereka.

Selain itu, melalui portal rasmi Astro Awani bertajuk 75,383 premis diperiksa mengejut di seluruh negara, sejumlah 75,383 atau 16 peratus premis perniagaan di seluruh negara telah diperiksa pada tahun 2022.

Dengan mengadakan pemeriksaan mengejut juga salah satu cara terbaik untuk melakukan pemeriksaan sama ada di pasar raya mahupun premis kedai runcit.

Hal ini supaya, mereka akan sentiasa peka dan tiada yang mengambil kesempatan keuntungan secara tidak munasabah atau pencatutan harga. Memberi amaran keras kepada individu dan syarikat agar tidak terbabit dan bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dengan menyorok barang kawalan serta subsidi bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang lebih tegas oleh pihak berkuasa.

Sekiranya disabit melakukan kesalahan tersebut, individu terbabit boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Impak monopoli

Oleh itu, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu menyalurkan aduan berhubung salah laku peniaga sama ada kegiatan sorok barang atau melaporkan mengenai kenaikan harga barang.

Dari sudut ekonomi Islam, melalui portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, isu sorok barangan tertentu dengan pelbagai alasan dan salah satunya supaya harga barang akan melambung tinggi. Antara barangan yang disorok seperti gula, minyak masak dan lain-lain yang ghalibnya menjadi keperluan utama sesebuah masyarakat.

Monopoli ialah membeli barangan yang disenaraikan sebagai makanan asasi daripada pasaran, apatah lagi jika dilakukan ketika barangan itu amat diperlukan oleh pengguna.

Tokoh Islam, Imam al-Nawawi mendefinisikan monopoli barang (al-ihtikar) sebagai; “Seseorang membeli makanan ketika harganya tinggi untuk dijualbelikan, tetapi dia tidak menjualnya pada waktu itu, malah disorokkannya agar dapat menjualkan barang dengan harga yang lebih tinggi.”

Selain itu, tokoh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah ada menyatakan bahawa kenaikan harga tidak semuanya disebabkan ketidakadilan. Terdapat juga faktor lain yang mempengaruhinya iaitu kekuatan pasaran antara penawaran (supply) dan permintaan (demand). Antaranya, keinginan masyarakat (al-raghbah) terhadap pelbagai jenis barang yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah.

Perubahan ini sesuai dengan keadaannya yang nadir atau tidak barang-barang yang diminta. Semakin sedikit jumlah suatu barang yang tersedia, semakin diminati barang tersebut oleh masyarakat.

Lemah atau kuatnya permintaan terhadap sesuatu barang dan besar atau kecilnya ukuran permintaan. Apabila permintaan besar, harga akan naik.

Sebaliknya, jika permintaan kecil dan lemah, harga akan turun dan sebagainya.

Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti jual beli dalam negara antara penjual dan pembeli mampu menggerakkan ekonomi negara.

Para penjual perlulah bersikap jujur dalam berjual beli dan tidak mengambil kesempatan ke atas keuntungan semata-mata dalam pasaran. Bukan itu sahaja, hasil jual beli tersebut mampu meningkatkan pendapatan negara dengan lebih baik.

Oleh itu, cara perniagaan yang dibenarkan oleh syarak adalah suatu tindakan yang perlu ditekankan kepada rakyat agar negara terus maju.

Maklumat Penulis

1 - Pelajar Tahun Akhir SM Ekonomi (Sumber Alam), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Nurul Natasha Mohd Salleh

2 - Pensyarah Kanan Fakulti Pernigaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp