
Merdeka daripada buli: Membina generasi Madani
Bulan Ogos hadir lagi, menyemarakkan semangat kemerdekaan yang telah kita kecapi sejak 1957.
Namun persoalan besar timbul, apakah makna merdeka jika masih ada anak bangsa yang dibelenggu ketakutan di sekolah sendiri?
Di saat negara melaungkan gagasan Malaysia Madani dengan tekad 'Rakyat Disantuni', berita tentang kes buli yang meragut maruah, malah ada yang meragut nyawa, seakan menampar kesedaran kita semua.
Kemerdekaan seharusnya melahirkan bangsa yang bebas daripada segala bentuk penindasan, bukan sekadar bebas daripada penjajahan asing.
Buli adalah wajah moden penjajahan, ia merantai jiwa, mematahkan semangat dan mencipta generasi yang hidup dalam bayangan ketakutan.
Jika kita benar-benar mahu membina Malaysia Madani, sekolah harus menjadi benteng kasih sayang bukan gelanggang penindasan.

Luka emosi yang menjajah jiwa
Buli bukan sekadar gurauan kasar atau usikan nakal antara rakan sebaya. Ia adalah serangan terhadap maruah insan yang meninggalkan kesan jauh lebih dalam daripada luka di tubuh.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan mangsa buli berisiko dua kali ganda mengalami kemurungan dan kebimbangan berbanding pelajar lain.
Lebih parah, ada yang memilih jalan singkat dengan menamatkan nyawa akibat tekanan emosi yang tidak tertanggung.
Kesan psikologi ini tidak hanya dirasai pada waktu singkat, malah boleh terbawa sehingga ke alam dewasa.
Ia mencetuskan masalah keyakinan diri, kesukaran membina hubungan sosial dan ada yang akhirnya mengulangi kitaran penindasan dengan menjadi pembuli pula.
Inilah bentuk penjajahan baharu, penjajahan minda dan jiwa yang perlahan-lahan membunuh semangat merdeka generasi muda.

Pendidikan berasaskan nilai, penawar budaya buli
Prinsip Malaysia Madani yang berteraskan nilai Ihsan, Keadilan, Hormat dan Kasih Sayang adalah kunci dalam merawat luka yang ditinggalkan oleh budaya buli.
Ia menuntut perubahan cara kita melihat dan menangani isu ini, bukan hanya berasaskan hukuman, tetapi melalui pendidikan nilai yang membentuk akhlak dan jiwa pelajar.
Guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa perlu bergerak seiring sebagai barisan hadapan.
Sokongan psikososial seperti kaunseling yang berkesan, program bimbingan rakan sebaya serta pendedahan tentang empati dan integriti harus diperluaskan.
Dalam masa yang sama, penglibatan komuniti juga penting agar sekolah menjadi zon selamat, tempat anak-anak merasa dihargai, bukan ditakuti.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Sembilan percaya bahawa penyelesaian jangka panjang tidak hanya terletak pada peraturan disiplin yang keras, tetapi juga pada pembinaan ekosistem pendidikan yang mesra jiwa.
Apabila pelajar dididik dengan nilai ihsan dan kasih sayang, mereka bukan sahaja membesar tanpa sifat pembuli, malah mampu menjadi generasi pemimpin yang berjiwa Madani.

Kemerdekaan tanpa penindasan
Sempena ulang tahun kemerdekaan kali ini, kita wajar bertanya pada diri: apakah erti merdeka jika masih ada anak-anak kita hidup dalam ketakutan kerana dibuli?
Apakah makna ‘Rakyat Disantuni’ jika ada pelajar yang menanggung derita dalam diam tanpa pembelaan?
Kemerdekaan sejati tidak hanya tercatat dalam lembaran sejarah, tetapi hidup dalam tindakan kita hari ini.
Membebaskan generasi daripada budaya buli adalah sebahagian daripada perjuangan kemerdekaan yang mesti kita pikul bersama.
Marilah kita jadikan gagasan Malaysia Madani sebagai realiti, bukan sekadar slogan.
Biarlah sekolah menjadi medan kasih sayang dan hormat-menghormati, bukannya gelanggang penindasan.
Dengan itu, kita bukan sahaja melahirkan pelajar yang cemerlang akademik, tetapi juga generasi merdeka yang berjiwa besar, berakhlak mulia dan berani memimpin negara ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Maklumat penulis:
Naib Pengerusi GPMS Negeri Sembilan, Muhammad Hakim Mohd Zain
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my