Mahasiswa USIM berkampung di Turkiye
Seramai 20 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama seorang pegawai pengiring di bawah Sekretariat Latihan Keusahawan Siswa, berkampung di Turkiye.
Kunjungan itu membabitkan program Global Islamic Student Outreach (GISO) bersama Pusat Yadim Hayrat dan Universiti of Sakarya, Turkiye, baru-baru ini.
Antara aktivit yang dijalankan termasuk Bacaan Kita Risalah Nur bersama NGO Yadim Hayrat, Sains Bersama Anak Yatim di bawah Hayrat dan Pertukaran Budaya bersama pelajar Universiti Sakarya.
Wakil dari NGO Hayrat, Muhammad Yusuf Canbaz berkata, pihaknya berbesar hati dan menyambut baik kedatangan pelajar USIM.
Beliau yang pernah belajar dan bergraduasi di Malaysia, mengakui kunjungan mahasiswa USIM mengingatkan kenangan indah ketika menuntut ilmu di negara ini.
“Pihak kami amat mengalu alukan kedatangan pelajar USIM dan kami gembira untuk melakukan aktiviti dan mengeratkan hubungan bersama mereka menerusi pengetahuan budaya Turkiye. Melihat mereka membuatkan saya rindu suasana ketika belajar di Malaysia,” ujar beliau.
Sementara itu, ketua pengarah program, Muhammad Feidhul Hakim Fatah Yasin berkata, pemilihan Turkiye sebagai destinasi program kerana keunikan budaya Islam dan sejarah ketamadunan Khalifah Uthmaniyyah di negara tersebut.
“Turkiye terkenal dengan sejarah ketamadunan Khalifah Uthmaniyyah. Kami sangat tertarik untuk mempelajari budaya dan sejarah yang lebih mendalam di sana.
"Manfaat yang dapat diperoleh daripada program ini termasuk pembelajaran mendalam tentang kebudayaan Turkiye. Program ini membuka peluang untuk mengukuhkan hubungan antara pelajar USIM bersama NGO Pusat Yadim Hayrat dan Universiti Sakarya,” katanya.