Pembangunan pesat, ancaman kualiti hidup serta alam sekitar
Urbanisasi adalah satu fenomena yang tidak dapat dielakkan dalam proses pembangunan sesebuah negara.
Ia melibatkan perpindahan besar-besaran penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar dalam usaha mencari kehidupan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang lebih banyak dan taraf hidup yang lebih tinggi.
Di Malaysia, urbanisasi berlaku dengan pesat, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, yang menjadi pusat ekonomi utama negara.
Menurut laporan Statistik Sosial Malaysia (MSSM) Edisi 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM), Urbanisasi telah meningkat sebanyak 75.1 peratus pada tahun 2020 di mana ia membawa kepada peningkatan kualiti hidup dan jangka hayat penduduk Malaysia.
Hal ini kerana ramai yang tidak mampu membeli rumah terpaksa menyewa di kawasan yang padat dengan penduduk.
Namun, seperti mana-mana fenomena besar, urbanisasi datang dengan dua sisi berbeza.
Ia membawa pelbagai peluang, tetapi pada masa yang sama mencetuskan cabaran besar yang perlu ditangani dengan berhati-hati.
Kos sara hidup meningkat
Salah satu kesan paling ketara daripada proses urbanisasi ialah peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar.
Di bandar-bandar utama, harga barang keperluan asas seperti makanan, bahan api dan utiliti meningkat dengan ketara akibat permintaan yang tinggi tetapi bekalan yang terhad.
Situasi ini memberikan kesan mendalam kepada golongan berpendapatan rendah, terutamanya kumpulan B40, yang bergelut untuk memenuhi keperluan asas.
Golongan M40 juga tidak terkecuali daripada kesan peningkatan kos sara hidup ini.
Walaupun mereka berada pada kedudukan ekonomi yang lebih stabil, tekanan kewangan tetap dirasakan, terutama apabila kenaikan pendapatan tidak sejajar dengan peningkatan kos barang keperluan.
Laporan Panduan Gaji 2023 yang diterbitkan oleh JobStreet mendapati 97.3 peratus daripada penyenaraian pekerjaan menawarkan tahap gaji yang sama seperti tahun sebelumnya.
Masalah perumahan mampu milik
Krisis perumahan mampu milik ini membawa kepada masalah lain yang turut menjejaskan kualiti hidup penduduk bandar.
Kawasan perumahan kos rendah sering kali tidak dilengkapi dengan kemudahan asas yang mencukupi, seperti sistem pembentungan yang baik, akses kepada air bersih dan ruang rekreasi yang mencukupi.
Kepadatan penduduk di kawasan ini juga meningkatkan risiko masalah sosial seperti jenayah, penyalahgunaan dadah dan ketegangan dalam komuniti.
Penduduk yang tinggal di perumahan berkualiti rendah juga terdedah kepada risiko keselamatan, termasuk keruntuhan bangunan dan kebakaran.
Kesesakan lalu lintas yang teruk
Pertambahan bilangan kenderaan persendirian di jalan raya berlaku pada kadar yang jauh lebih pantas berbanding peningkatan kapasiti infrastruktur jalan raya.
Situasi ini menyebabkan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk hampir sepanjang hari, terutama pada waktu puncak.
Sistem pengangkutan awam yang sedia ada, walaupun telah diperluaskan, masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk bandar.
Ramai penduduk terpaksa menggunakan kenderaan persendirian kerana pengangkutan awam tidak meliputi semua kawasan.
Kesesakan lalu lintas ini bukan sahaja membuang masa, tetapi juga memberi tekanan mental kepada pengguna jalan raya, menjejaskan produktiviti dan meningkatkan pencemaran udara akibat pelepasan karbon dari kenderaan.
Kesan terhadap alam sekitar
Urbanisasi yang pesat turut memberi kesan besar kepada alam sekitar.
Penebangan hutan untuk tujuan pembangunan bandar menyebabkan kehilangan biodiversiti yang kritikal.
Kawasan hijau yang semakin berkurangan di bandar menyumbang kepada fenomena pulau haba, di mana suhu bandar meningkat jauh lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.
Pencemaran udara akibat pelepasan karbon dari kenderaan dan kilang juga memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk bandar, terutama mereka yang terdedah kepada penyakit respiratori seperti asma.
Selain itu, pembangunan yang tidak dirancang dengan teliti turut menyebabkan masalah banjir kilat, yang kerap berlaku di kawasan bandar akibat sistem saliran yang tidak mencukupi.
Walau bagaimanapun, urbanisasi juga membawa pelbagai peluang yang tidak boleh diketepikan.
Ia menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada penduduk luar bandar yang berhijrah ke bandar.
Selain itu, bandar yang pesat membangun sering menjadi hab kepada inovasi teknologi dan kreativiti, yang membuka ruang untuk rakyat Malaysia bersaing di peringkat global.
Namun, untuk memastikan urbanisasi menjadi pemangkin kepada kemajuan dan bukan beban kepada rakyat, cabaran-cabaran yang wujud perlu ditangani dengan bijak.
Untuk menangani cabaran urbanisasi yang semakin merunsing, langkah-langkah yang berkesan perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan sektor swasta secara bersama.
1. Menangani masalah kos sara hidup yang tinggi
Kerajaan perlu menggubal dasar kawalan harga untuk barangan keperluan asas seperti makanan dan utiliti.
Subsidi harus diberikan kepada golongan yang paling memerlukan, terutamanya B40, untuk meringankan beban kewangan mereka.
Selain itu, pengeluaran makanan tempatan perlu dipertingkatkan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga kekal stabil.
2. Menambah baik pengangkutan awam
Dari segi pengangkutan, sistem pengangkutan awam perlu diperluaskan dan dipertingkatkan keberkesanannya.
Perkhidmatan seperti MRT, LRT dan bas perlu meliputi lebih banyak kawasan, termasuk kawasan luar bandar.
Dengan meningkatkan pengangkutan awam, ianya akan mengurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian.
Hal ini sejajar dengan misi nasional untuk mencapai status negara maju,berpendapatan tinggi, inklusif sertamampan menjelang pasca 2020.
3. Dasar perumahan yang mesra rakyat
Bagi menangani isu perumahan, kerajaan perlu memperkenalkan dasar yang mewajibkan pemaju hartanah untuk membina sejumlah rumah mampu milik dalam setiap projek pembangunan.
Selain itu, skim pembiayaan rumah yang lebih fleksibel dan mampu milik perlu diperkenalkan untuk membantu golongan muda memiliki rumah sendiri.
Kerajaan juga harus memastikan kualiti hidup yang tinggi di kawasan bandar dengan memastikan ia selesa didiami dan mendapat liputan kemudahan asas mencukupi.
4. Memajukan pembangunan hijau
Penanaman semula kawasan hijau yang terjejas, penguatkuasaan undang-undang terhadap penebangan hutan secara haram dan penggunaan teknologi mesra alam dalam projek pembangunan perlu digalakkan.
Kerajaan juga perlu mewajibkan pemaju untuk memasukkan elemen mesra alam seperti sistem tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa yang cekap dalam setiap projek pembangunan.
Selain itu, kempen kesedaran awam tentang kepentingan menjaga alam sekitar perlu diperluaskan bagi memastikan masyarakat memahami peranan mereka dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Kesimpulannya, urbanisasi adalah satu proses yang tidak dapat dielakkan dalam usaha membangunkan negara.
Ia membawa pelbagai peluang yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Namun, cabaran-cabaran yang timbul akibat urbanisasi perlu ditangani dengan serius dan segera.
Kerajaan, sektor swasta serta masyarakat perlu bekerjasama untuk memastikan proses urbanisasi berlaku secara seimbang dan mampan.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Nor Amirah Hanapi
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my