Pendidikan keusahawanan efektif lahirnya graduan usahawan muda
Pendidikan keusahawanan adalah proses menyediakan individu dengan konsep dan kemahiran keusahawanan bagi menjadikannya peluang perniagaan yang perlu mereka capai kelak.
Pendidikan keusahawanan juga direka bentuk sebagai pendidikan formal untuk usahawan.
Malah ia menyumbang kepada pembangunan kemahiran untuk sesiapa sahaja sebagai peringkat pertama menjadi usahawan atau usahawan teknologi melalui pendidikan.
Pada tahun 2022, seramai 35 usahawan muda berjaya memperoleh pendapatan tinggi melalui statistik usahawan belia (20-39 tahun) yang mempunyai pendapatan RM24,000 setahun mengikut jantina, daerah dan negeri di Malaysia.
Walau bagaimanapun, apakah yang menjadi penentu keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan keusahawanan di peringkat sekolah atau institusi pendidikan tinggi?
Kebanyakan pelajar tidak 100 peratus dapat menghafal dan mengenali apa yang telah dipelajari semasa sesi pembelajaran.
Teknik dan kaedah pengajaran berkesan dapat mengelakkan para pelajar atau mahasiswa menjadi bosan semasa pembelajaran.
Antara faktor-faktor yang boleh mempengaruhi hasil pembelajaran mereka dalam pendidikan keusahawanan adalah melalui gaya pengajaran.
Pendekatan gaya pengajaran yang berkesan adalah penting bagi memastikan penyesuaian pengetahuan terhadap mata pelajaran dipelajari.
Pendekatan itu boleh dilihat melalui dua konteks yang berbeza seperti dari perspektif pelajar dan perspektif guru.
Namun begitu, terdapat beberapa kajian mengenai pendekatan guru terhadap pengajaran (bagaimana mereka mengajar) dan konsep yang mereka pegang tentang pengajaran (apa yang mereka percaya tentang pengajaran) dan pendekatan pembelajaran dari perspektif pelajar yang perlu kita kenal pasti.
Terdapat empat jenis gaya pengajaran iaitu gaya authoritarian, gaya demonstrator, gaya facilitator dan gaya delegator.
Setiap gaya pengajaran ini mempunyai kriteria masing-masing yang dapat mempengaruhi hasil pembelajaran efektif dalam mana-mana subjek yang dipelajari.
Antara gaya pengajaran yang sesuai dalam memastikan hasil pembelajaran dalam pendidikan keusahawanan yang berjaya adalah gaya pengajaran demonstrator iaitu gaya pengajaran yang dicirikan oleh demonstrasi prosedur diketuai tenaga pengajar disertai dengan latihan amali pelajar secara hands-on, role-playing atau melakonkan proses.
Boleh dikatakan bahawa gaya pengajaran yang paling dominan dipilih oleh hampir setiap pelajar adalah gaya pengajaran demonstrator.
Kejayaan pelajar dalam penguasaan ilmu bergantung kepada kreativiti tenaga pengajar dalam memastikan penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran tertentu dapat disampaikan dengan berkesan.
Unsur jenaka
Cara dan gaya penyampaian dalam pengajaran juga perlu memberi kesan keseronokan dan menarik perhatian serta tumpuan pelajar seperti menggunakan unsur jenaka atau unsur-unsur lain yang dapat mencetus sistem kognitif pelajar di mana ia dapat membuatkan pelajar menjadi lebih berminat dan menumpukan perhatian.
Ini kerana pendidikan keusahawanan memerlukan lebih banyak kreativiti dalam pembelajaran bagi menarik minat dan meningkatkan tahap atau kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Apabila kita menyentuh gaya pembelajaran pula, ia juga secara tidak langsung boleh mempengaruhi hasil pembelajaran berkesan.
Teori gaya pembelajaran mentakrifkan pembelajaran sebagai proses kognitif yang memerlukan penggunaan pengekodan, pemprosesan dan sintesis maklumat semasa pembelajaran atau tugasan menyelesaikan masalah.
Teori-teori mengenai gaya pembelajaran dan pengaruhnya terhadap hasil pembelajaran telah banyak digunakan dalam kajian lepas.
Mengguna pakai model gaya pembelajaran Visual, Auditori dan Kinestetik (VAK) yang diasaskan ahli psikologi pada tahun 1920, tiga jenis deria iaitu penglihatan (visual), pendengaran (auditori) dan pergerakan (kinestetik) bagi mengenal pasti gaya belajar anak yang paling optimum untuknya.
Setiap pelajar ada gaya pembelajaran masing-masing.
Keperluan pelajar
Bagi memastikan hasil pembelajaran yang berkesan dalam pendidikan keusahawanan, gaya belajar itu sendiri mestilah dapat memenuhi keperluan pelajar untuk memahami subjek yang dipelajarinya.
Kajian lepas juga berpendapat pelajar auditori (pendengaran) boleh menyesuaikan atau menerima dengan mana-mana pendekatan gaya pengajaran yang terbaik untuk menghasilkan hasil pembelajaran yang berkesan dalam pendidikan keusahawanan.
Justeru itu, bagi memastikan kita dapat melahirkan graduan usahawan yang ramai, kita mestilah memupuk minat pelajar dalam bidang keusahawanan melalui pembelajaran di alam persekolahan sehinggalah ke peringkat lebih tinggi.
Kreativiti serta inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) adalah nilai tambah yang perlu diketengahkan agar dapat melahirkan graduan usahawan berprestasi tinggi.
Maklumat Penulis:
Pensyarah keusahawanan, Jabatan Pengurusan, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, Farhana Mohd Nazmi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my