Tekanan rakyat semakin bertambah apabila kos sara hidup meningkat namun gaji yang ditetapkan kerajaan tidak banyak berubah. Gambar kecil: Nur Aishah.
Tekanan rakyat semakin bertambah apabila kos sara hidup meningkat namun gaji yang ditetapkan kerajaan tidak banyak berubah. Gambar kecil: Nur Aishah.

Peningkatan kos sara hidup membimbangkan

29 Feb 2024 07:15am

Kos sara hidup antara isu sering berlaku dalam negara untuk tempoh yang agak lama.

Isu utama ini perlu ditangani kerajaan baharu iaitu Kerajaan Madani kerana mereka telah menerajui negara dan wujud kerangka ekonomi baharu iaitu Ekonomi Madani yang mampu membolehkan rakyat menjalani kehidupan lebih selesa dan berkualiti.

Kos sara hidup sering membelenggu golongan miskin seperti B40 terutamanya tinggal di bandar-bandar besar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

Kos di bandar besar semakin meningkat dengan masalah peningkatan harga barangan yang mendadak sehingga tidak mampu dijangka pengguna. Peningkatan mendadak ini menyebabkan pengguna tidak mampu merancang kewangan dengan baik dan teliti.

Berdasarkan Belanjawan 2022/2023, pasangan suami isteri yang mempunyai bilangan anak dua orang ke atas memerlukan RM6,890 sebulan berbanding RM6,620 sebulan pada tahun 2019. Peningkatan ini menunjukkan kos sara hidup di bandar-bandar semakin meningkat saban waktu.

Menurut Pengarah Social Wellbeing Research Centre (SWRC), Profesor Datuk Dr Norma, peningkatan mengikut isi rumah menunjukkan peningkatan kewangan perlu ada untuk memastikan kehidupan lebih selesa dan berkualiti terutamanya bagi setiap isi rumah di bandar-bandar besar di ibu kota.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu didedahkan dengan cara pengurusan kewangan betul kerana tahap celik kewangan dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih rendah hingga menyebabkan mereka tidak mempunyai wang simpanan mencukupi bagi digunakan waktu kecemasan.

Di sini dapat dikatakan pembuat dasar belanjawan akan datang perlu menjadikan Belanjawan 2022/2023 sebagai panduan untuk mengkaji semula perancangan kewangan agar ia tidak membebankan rakyat dalam kesempitan ekonomi akibat kos sara hidup semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Tekanan rakyat semakin bertambah apabila kos sara hidup meningkat namun gaji yang ditetapkan kerajaan tidak banyak berubah.

Masalah ini memberikan kesan sangat besar dalam hidup rakyat kerana tahap gaji rendah menyebabkan kewangan mereka tidak mencukupi menampung kehidupan harian.

Dengan keadaan ekonomi tidak stabil dan jumlah gaji yang tidak banyak perubahan, para majikan seharusnya mengkaji semula paras gaji yang dibayar kepada para pekerja sebagai sebahagian daripada strategi mencari dan melantik pekerja berkualiti yang mampu membantu organisasi atau syarikat menjadi lebih berkembang maju.

Penurunan gaji ketara

Laporan panduan gaji pada 2023 yang direkodkan Jobstreet menyatakan, 97.3 peratus pekerjaan yang ditawarkan mempunyai tahap gaji sama pada tahun sebelumnya dan kebanyakan bandar mengalami penurunan gaji ketara merentasi jawatan.

Pengarah Urusan Jobstreet Malaysia, Vic Sithasanan menyatakan, walaupun tahap gaji median yang ditawarkan konsisten dari tahun ke tahun namun ia masih tidak relevan kerana peningkatan kos sara hidup melebihi tahap gaji yang ditawarkan menyebabkan ia mengalami hubungan negatif.

Peningkatan kos sara hidup semakin menjadi satu kebimbangan dalam kalangan rakyat dan didapati kebanyakan kerja yang ditawarkan tidak memenuhi kriteria gaji diinginkan pemohon berdasarkan kepakaran mereka miliki.

Melalui Jobstreet Malaysia dapat direkodkan berlaku peningkatan sebanyak 10 peratus permohonan dilakukan dalam Jobstreet yang menunjukkan ramai rakyat Malaysia sedang mencari pekerjaan dan mencari peluang baharu untuk meneruskan kehidupan lebih baik dengan tahap gaji maksimum.

Dalam situasi ini, para majikan harus bijak mengatur strategi menarik minat pemohon memohon pekerjaan dan dalam masa sama para majikan juga harus bertimbang rasa dengan menawarkan gaji setimpal dengan pekerjaan ditawarkan.

Masalah peningkatan kos sara hidup ini semakin menjadi kebimbangan dalam kalangan rakyat ditambah pula dengan keadaan mata wang negara yang semakin lemah.

Ini kerana, mereka perlu bergelut dengan keadaan yang memaksa mereka berbelanja melebihi pendapatan ekoran inflasi yang berlaku dan kejatuhan ringgit Malaysia yang ketara.

Ringgit Malaysia semakin melemah menyebabkan banyak kesan buruk terutama apabila barangan import menjadi lebih mahal kerana Malaysia juga mengimport banyak produk daripada negara luar untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Kejatuhan nilai ringgit pada tahun ini mencapai tahap terendah sepanjang 10 tahun kebelakangan ini yang menyebabkan keadaan semakin tidak terkawal.

Menurut Profesor Emirtus Dr Barjoyai, kejatuhan nilai ringgit akan memberikan kesan ketara kepada harga makanan kerana nilai import makanan sangat tinggi sehingga mampu mencecah RM70 milion.

Ekoran daripada masalah-masalah yang dihadapi dalam ekonomi menyebabkan berlaku peningkatan kos sara hidup yang ketara membuatkan rakyat berharap agar kerajaan dapat mencari jalan dan inisiatif berkesan untuk menangani masalah kenaikan kos sara hidup.

Inisiatif ini dapat dilakukan oleh kerajaan dalam kerangka yang jelas dengan pelbagai kaedah dan bentuk bantuan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Oleh itu, Belanjawan 2024 harus diberikan penekanan tentang isu kos sara hidup yang semakin meningkat ini, yang menyebabkan rakyat semakin susah meneruskan kehidupan harian dengan keadaan inflasi semakin meningkat sehingga mereka perlu berkira-kira membeli keperluan harian keluarga.

Realisasikan langkah efisyen

Kerajaan perlu merealisasikan langkah efisyen terhadap masalah kenaikan kos sara hidup agar golongan rakyat yang terkesan akibat perubahan ekonomi mendapat manfaat menyeluruh sekali gus membantu membina kehidupan lebih baik.

Rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos ini terutamanya yang tinggal di bandar sangat berharap wujudnya inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah walaupun secara perlahan-lahan.

Hal ini kerana, kesengsaraan akibat daripada kenaikan kos sara hidup sangat banyak mengubah corak kehidupan rakyat sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa melakukan pelbagai kerja dalam satu masa demi kelangsungan hidup.

Pada masa yang sama juga, rakyat terutamanya golongan yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ini perlu bertahan untuk sementara waktu sehingga kerajaan menjalankan langkah dan inisiatif membantu rakyat.

Mereka juga perlu mengubah corak perbelanjaan dalam kehidupan harian untuk meminimumkan beban yang terpaksa dipikul kesan peningkatan kos sara hidup.

Maklumat penulis

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Aishah Azhar

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp