
Peranan food truck dalam mengembangkan keusahawanan siswa
Dalam era ekonomi moden yang serba kompetitif, mahasiswa bukan sahaja dituntut untuk cemerlang dalam bidang akademik.
Sebaliknya, mereka juga digalakkan untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai langkah memperkasa daya saing selepas tamat pengajian.
Salah satu bentuk perniagaan yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan siswa ialah perniagaan food truck.
Kehadiran food truck sebagai model perniagaan bergerak bukan sahaja memenuhi permintaan gaya hidup moden.
Ia juga menjadi platform strategik bagi mahasiswa yang ingin membina asas kukuh dalam dunia perniagaan.
Berbanding membuka restoran atau kafe yang memerlukan kos operasi tinggi, food truck menawarkan alternatif dengan modal permulaan yang lebih rendah.
Hal ini memberi peluang kepada siswa untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan tanpa menanggung risiko kewangan yang besar.
Dengan kos sewaan atau pembelian food truck yang lebih fleksibel, mereka boleh memulakan operasi dalam skala kecil dan berkembang secara berperingkat.
Menyedari perkara tersebut, Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil pendekatan proaktif dengan melibatkan penyertaan food truck di dalam aktiviti keusahawanan kampus.
Ia bukan sekadar menyediakan ruang jualan makanan kepada mahasiswa.
Ia sebenarnya merupakan sebuah platform strategik yang berpotensi memperkukuh jaringan keusahawanan kampus serta membuka laluan kerjasama yang lebih luas dengan pemain industri luar.

Imej profesional dan penjenamaan
Food truck tidak lagi boleh dianggap hanya sebagai gerai jualan bergerak.
Sudah tiba masanya food truck mempunyai identiti tersendiri yang mencerminkan kreativiti, aspirasi dan profesionalisme seorang usahawan.
Dengan pendekatan ini, kehadiran food truck mampu menjadi tarikan bukan sahaja kepada warga kampus tetapi juga masyarakat luar yang berkunjung ke UUM.
Dalam usaha memposisikan produk di dalam pasaran, usahawan food truck perlu tampil dengan imej profesional melalui penggunaan seragam, hiasan yang menarik serta menu yang unik.
Penampilan sedemikian bukan sahaja meyakinkan pelanggan, malah turut mendidik mahasiswa mengenai kepentingan aspek penjenamaan dalam dunia perniagaan sebenar.
Inovasi menu dan kreativiti pemasaran
Food truck sering dikaitkan dengan menu yang unik dan kreatif.
Gabungan makanan tradisional dengan gaya moden atau konsep makanan segera yang lebih sihat sering menjadi senjata utama mereka dalam menarik pelanggan.
Bagi mahasiswa yang sememangnya penuh dengan idea baharu, platform ini menjadi ruang untuk menguji kreativiti dan keupayaan mereka untuk membezakan produk mereka daripada pesaing.
Mahasiswa terkenal dengan daya kreativiti dan inovasi.
Food truck memberi ruang kepada mereka untuk memperkenalkan menu baharu, gabungan citarasa tradisional dan moden serta pilihan makanan yang lebih sihat.
Kajian mendapati food truck di Malaysia bergantung kepada media sosial sebagai saluran pemasaran utama.
Ini sejajar dengan kecenderungan golongan muda menggunakan platform digital untuk promosi perniagaan.
Hab jaringan strategik
Lebih daripada itu, kehadiran food truck di dalam kampus harus berperanan sebagai hab jaringan keusahawanan strategik.
Pengendali food truck dan mahasiswa boleh menjalin kerjasama pintar dalam aspek keusahawanan dan latihan.
Kerjasama ini akan membuka peluang yang lebih luas termasuk bimbingan serta penjenamaan yang lebih tersusun untuk mengembangkan perniagaan.
Melalui penglibatan dalam industri food truck, mahasiswa dapat membina jaringan dengan pelanggan, pembekal serta rakan niaga.
Hubungan ini bukan sahaja penting untuk kelangsungan perniagaan semasa.
Malah, ia boleh membuka jalan kepada kerjaya atau peluang keusahawanan yang lebih besar selepas tamat pengajian.
Kerjasama pintar turut boleh dijalinkan di antara usahawan food truck dengan para pemain industri.
Food truck boleh dijadikan sebagai platform ujian rintis untuk produk-produk baru sebelum mula dipasarkan secara meluas.
Respon pengguna yang diperolehi mampu membantu pemain industri untuk melakukan penambahbaikan ke atas produk mereka.

Fleksibiliti dan mobiliti perniagaan
Dalam keadaan lain pula, food truck mampu membantu pemain industri mempercepatkan penetrasi pasaran produk mereka.
Aspek mobiliti merupakan kelebihan utama food truck berbanding peniaga statik.
Daya mobiliti food truck yang tinggi boleh dimanfaatkan dalam memastikan produk mereka sampai ke setiap pelusuk pasaran dengan mudah.
Keupayaan food truck bergerak ke pelbagai lokasi memberi kelebihan besar kepada usahawan muda.
Mereka boleh memilih lokasi strategik seperti kawasan kampus, festival, atau kawasan tumpuan ramai.
Fleksibiliti ini membolehkan siswa menguji pasaran serta menyesuaikan strategi pemasaran dengan lebih cepat.
Inkubator usahawan muda
Perniagaan food truck memberi peluang kepada siswa untuk mempelajari kemahiran sebenar keusahawanan: pengurusan kewangan, kawalan kos, kepuasan pelanggan, kawalan kualiti serta strategi pemasaran.
Pengalaman langsung ini jauh lebih berharga berbanding teori semata-mata, kerana ia mendedahkan mereka kepada cabaran realiti dunia perniagaan sebenar.
Dengan sokongan rakan strategik, perniagaan food truck berupaya menjadi sebuah inkubator bagi usahawan muda.
Ia bakal melahirkan graduan yang lebih terbuka dan berdaya saing, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran pasaran sebenar.
Dalam erti kata lain, food truck bukan lagi sekadar menghidangkan makanan tetapi turut menyediakan medan latihan praktikal kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman berniaga secara langsung dan profesional.
Secara keseluruhannya, food truck dilihat berupaya memainkan peranan penting dalam mengembangkan bakat dan potensi keusahawanan siswa.
Ia menyediakan peluang berisiko rendah, memberi latihan praktikal, mendorong inovasi, serta membina jaringan yang bernilai.
Justeru, usaha institusi pengajian tinggi serta agensi kerajaan untuk menyokong perkembangan perniagaan food truck dalam kalangan mahasiswa wajar diteruskan sebagai salah satu strategi melahirkan graduan yang lebih berdikari dan berdaya saing di pasaran global.
Maklumat penulis:
Pensyarah Kanan SEFB UUM & Pengurus Bahagian Pengurusan Perniagaan dan Pelesenan, BSD, UUM, Dr Hisham Mohammad
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my