
Rakyat Malaysia perlu lebih peka terhadap kandungan AI
Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih telah membuka pelbagai peluang kepada masyarakat.
Namun, ia juga membawa cabaran besar – salah satunya adalah keupayaan rakyat untuk membezakan antara kandungan sebenar dan yang direka, serta bertindak secara bertanggungjawab terhadap teknologi ini.
Baru-baru ini, video banjir di Kuala Lumpur yang tersebar luas di media sosial rupanya palsu dan dihasilkan oleh teknologi AI.
Begitu juga dengan gambar kemalangan tragis membabitkan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang turut dimanipulasi menggunakan imej berasaskan AI.
Kedua-dua insiden ini bukan sahaja mencetuskan panik dan kemarahan, malah mencerminkan satu isu yang lebih mendalam iaitu tahap kesedaran serta literasi digital masyarakat Malaysia masih perlu diperkukuh.
Teknologi seperti Midjourney, DALL·E dan Stable Diffusion kini mampu menjana imej yang amat realistik, cukup sukar untuk dibezakan dengan gambar sebenar.
Dalam kalangan warga emas dan individu kurang pendedahan teknologi, ini boleh menyebabkan kekeliruan dan manipulasi emosi, khususnya apabila kandungan palsu menyentuh isu sensitif seperti bencana alam atau tragedi kemalangan.
Lebih merisaukan, penyebaran kandungan palsu sebegini berlaku tanpa mengambil kira kesan kepada mangsa atau keluarga terlibat.
Dalam kes gambar kemalangan bas UPSI, manipulasi imej dianggap sebagai tindakan tidak sensitif yang mengeksploitasi penderitaan orang lain demi perhatian di media sosial.
Melihat kepada perkembangan ini, kerajaan telah mula bertindak.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa penggunaan gambar AI dalam iklan tanpa penzahiran yang jelas boleh disifatkan sebagai cubaan memperdaya pengguna.
Malah, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut menggesa platform digital untuk mewajibkan label khusus pada kandungan AI bagi mengelakkan kekeliruan.
Namun begitu, tanggungjawab tidak hanya terletak pada bahu kerajaan atau penyedia platform.
Rakyat Malaysia sendiri perlu memainkan peranan dalam memastikan mereka celik digital dan tidak menjadi mangsa kepada penyebaran maklumat palsu. Pendidikan pengguna adalah kunci utama.
Usaha seperti program “AI untuk Rakyat” oleh kerajaan merupakan langkah awal yang sangat penting. Program ini memberi peluang kepada orang awam mempelajari asas teknologi AI dan kaedah mengenal pasti kandungan yang dimanipulasi secara digital.
Kecanggihan teknologi bukan sesuatu yang perlu ditolak, malah ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, perubatan, seni dan komunikasi visual.
Namun, teknologi tanpa nilai dan kesedaran akan menjadikan masyarakat mudah terdedah kepada manipulasi dan maklumat tidak sahih.
Justeru, kita semua sama ada pengguna media sosial, pelajar, pendidik, pengiklan atau pengamal media perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab.
Masa depan digital Malaysia hanya akan stabil jika rakyatnya bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga bijak menilai serta beretika dalam menggunakan teknologi tersebut.
Di era di mana sempadan antara realiti dan rekaan semakin kabur, membina kesedaran dan kebijaksanaan kolektif adalah langkah penting untuk memastikan teknologi menjadi alat kemajuan, bukan senjata yang membinasakan kepercayaan masyarakat.
Maklumat penulis:
1. Pelajar Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nor Liyana Mohamed Nazir
2. Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu USIM, Dr Afiqah Mior Kamarulbaid