
Terima kasih rakyat Malaysia, kami terharu - UPSI
Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menzahirkan penghargaan tidak terhingga atas keprihatinan rakyat Malaysia yang menyatakan simpati dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan ngeri melibatkan pelajar universiti itu pada Isnin.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, insiden menyayat hati yang berlaku di Kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada awal pagi tersebut telah mengorbankan 15 pelajarnya manakala selebihnya mengalami kecederaan parah.
"Kami di UPSI amat sedih dan dukacita dengan kehilangan besar ini. Terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu dalam menguruskan jenazah para pelajar.
"Hanya dengan kasih sayang dan nilai kemanusiaan daripada rakyat Malaysia, kami di UPSI mampu terus tabah menghadapi ujian berat ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Md Amin, seluruh warga UPSI turut tersentuh dengan keprihatinan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan mencemar duli menyantuni keluarga mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Jelasnya, sokongan moral daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut turun padang memberi kekuatan luar biasa kepada seluruh komuniti UPSI.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, beliau bersama wakil universiti turut ke kampung halaman mangsa di Jerteh dan Setiu, Terengganu bagi menziarahi serta meneliti sendiri urusan pengebumian.
Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, UPSI telah menubuhkan dua tabung khas bagi menerima sumbangan orang ramai iaitu Tabung Majlis Perwakilan Pelajar (RHB Bank: 25807500029702) dan Tabung UPSI Prihatin (Bank Islam: 08068010003264).
Tambahnya, bilik gerak kerja juga telah dibuka bagi memantau segala urusan berkaitan serta memastikan kebajikan pelajar terjamin, termasuk menyediakan bantuan psikologi kepada mangsa yang sedang dirawat di hospital.