Revolusi rekod perubatan pesakit
Rekod perubatan digital adalah satu inisiatif kerajaan untuk memastikan setiap individu mempunyai satu rekod sahaja di fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta.
Amanat tahun baharu yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada pada 26 Januari lalu, mengulas kepentingan kecekapan dalam operasi fasiliti kesihatan supaya ia dapat dipertingkatkan dengan perlaksanaan satu individu untuk satu rekod kesihatan.
Selari dengan Pelan Strategik Pendigitalan 2021-2025, pengukuhan perkhidmatan digital kesihatan menyeluruh dan bersepadu dilihat sebagai satu strategi seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Pembangunan Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu telah bermula secara berperingkat di Negeri Sembilan. Ini merupakan projek pelaksanaan rekod perubatan elektronik (Electronic Medical Record; EMR) yang pertama dan fasa perluasan penggunaan EMR di peringkat kebangsaan sedang berjalan.
Seiring dengan perkembangan landskap penjagaan kesihatan berteraskan teknologi, pemerkasaan rekod perubatan elektronik (EMR) dilihat dapat meneraju ekosistem penjagaan kesihatan di Malaysia dengan lebih baik.
Buat masa ini, pengalaman Malaysia boleh dilihat dalam penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai contoh teknologi yang sedang digunakan untuk membantu memperkemaskan sektor kesihatan.
Apakah itu Rekod Perubatan Elektronik (EMR)
EMR ialah rekod digital yang menggantikan rekod kertas yang digunakan di klinik kesihatan, hospital dan institusi kesihatan dalam kerajaan mahupun swasta.
Seiring pendekatan inovatif Industri 4.0 Malaysia, penyepaduan teknologi, mesin pintar dan perisian terkini dapat menyokong ketersambungan dan pertukaran data dengan teknologi maklumat yang canggih.
Antaranya adalah keterhasilan pendigitalan rekod perubatan pesakit beserta sistem pemantauan yang lengkap yang dapat memenuhi keperluan individu pesakit/ industri perubatan dengan masa dan kos yang optimum.
Tujuan EMR
Matlamat pendigitalan rekod perubatan ini, antaranya merangkumi penyediaan maklumat yang tepat, sesuai pada waktunya, merangsang pengetahuan, membolehkan individu membuat keputusan kesihatan dengan tepat, memperkasa individu dan keluarga menguruskan kesihatan melalui pemindahan pengetahuan serta kemahiran.
Pelaksanaan EMR dalam penjagaan kesihatan dilihat menjadi teras pelan induk penjagaan kesihatan yang menjanjikan pemudah cara untuk kemudahan kesihatan di Malaysia.
Kelebihan EMR
Pertama, pengurusan rekod tanpa kertas yang mapan dan kebolehcapaian akses yang tinggi dapat membantu ekosistem kesihatan di negara ini berkembang dengan lebih maju.
Sistem maklumat klinikal secara digital ini didatangi dengan fleksibiliti yang dapat membantu pengurusan rekod dengan lebih baik, tanpa mengambil ruang fizikal di institusi kesihatan dan masa yang lama yang diambil seperti penyimpan rekod tradisional.
Kedua, perkongsian maklumat perubatan dengan selamat dan komprehensif. Sistem digital ini mampu menyimpan pelbagai data pesakit, termasuk demografi peribadi, sejarah perubatan, diagnosis semasa dan lampau, ubat-ubatan, alahan, rekod imunisasi dan sejarah perubatan keluarga.
Ketiga, risiko kesilapan dalam perubatan dapat diminimalkan. Penyediaan maklumat yang tepat dan lengkap terhadap sejarah rawatan pesakit yang direkodkan secara digital dapat memberi informasi dalam kadar segera.
Sistem ini juga dapat membantu pihak yang merawat untuk mendiagnosis pesakit dengan lebih berkesan dan dalam penetapan ubat.
EMR muncul sebagai tulang belakang rekod kesihatan digital, dimana sistem ini dapat merevolusikan penjagaan kesihatan pesakit, memperkemas aliran kerja, meningkatkan komunikasi dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan dan memacu inovasi dalam penyelidikan.
Maklumat Penulis
1 - Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti KPJ Healthcare (KPJU), Syakinah Anian
2 - Pensyarah dari Jabatan Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, KPJU, Profesor Dr Norhayati Mohd Zain
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my