Pemimpin berkaliber akan memberi tunjuk ajar dan contoh tentang bagaimana sesuatu perkara itu perlu dilaksanakan dan diselesaikan. Gambar kecil: Muhammad Syafi.
Pemimpin berkaliber akan memberi tunjuk ajar dan contoh tentang bagaimana sesuatu perkara itu perlu dilaksanakan dan diselesaikan. Gambar kecil: Muhammad Syafi.

Sikap terpuji asas kepimpinan berkualiti

13 Mar 2024 07:15am

Pemimpin yang berkualiti dapat didefinisikan sebagai seorang yang mampu menjadi contoh terbaik kepada setiap orang yang berada di bawah kepemimpinannya.

‘Kepimpinan Melalui Teladan’, adalah satu frasa yang sering kita dengari kerana ia merupakan asas kepada suatu bentuk kepimpinan berkesan dan efektif.

Sebagai pemimpin baik, sebelum kita hendak menyuruh orang lain mengikut apa yang kita mahukan, pemimpin tersebut perlu melakukan penambahbaikan kepada diri sendiri terlebih dahulu.

Hal ini kerana, sebagai pemimpin kita akan sentiasa menjadi ikutan kepada orang di bawah kita daripada segi budaya kerja, integriti dan sebagainya.

Jika asyik menyuruh orang lain supaya menambah baik dan meningkatkan prestasi diri mereka sedangkan kita sendiri tidak melakukannya, agak sukar untuk orang lain mengikuti secara sukarela.

Jika ada yang melakukannya mungkin hanya kerana rasa terpaksa.

Sebagai contoh, jika kita mahu orang bawahan datang awal, kita sendiri juga perlu datang awal.

Kalau kita mahu jawapan atau maklum balas yang pantas, kita sendiri perlu memberikan respon pantas dalam menjawab sebarang pertanyaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Hal ini, tanpa disedari perkara tersebut akan diperhati dan dipraktikkan oleh orang bawahan untuk melakukan perkara sama.

‘Be a leader not a boss’ merupakan ungkapan tepat untuk menggambarkan hubungan baik yang perlu ada antara pemimpin dan orang bawahannya.

Seorang pemimpin berkaliber akan memberi tunjuk ajar dan contoh tentang bagaimana sesuatu perkara itu perlu dilaksanakan dan diselesaikan.

Secara tidak langsung juga, orang bawahan akan menghormati dan memandang pemimpin mereka sebagai seorang berwibawa.

Pemimpin berkualiti juga harus sentiasa bersedia untuk belajar kerana kepimpinan adalah perlu dipelajari melalui latihan dan pengalaman secara konsisten.

Pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dimiliki sekali gus akan mendewasakan pemikiran pemimpin itu.

Di samping itu, pemimpin perlu mempunyai karakter berani memberi jawapan tegas yang baik atau tidak baik kepada organisasinya.

Mereka juga harus mempunyai inisiatif atau tindakan awal daripada diri mereka sendiri dalam menyelesaikan sebarang permasalahan tanpa menunggu orang lain bertindak.

Kemahiran komunikasi yang baik juga dapat membantu satu arahan, penjelasan atau teguran itu disampaikan dengan baik serta diterima orang lain.

Pemimpin yang dapat berkomunikasi dengan baik ini dapat mempengaruhi orang bawahannya untuk menuruti apa dikehendakinya kerana mereka yakin apa disampaikan pemimpin mereka.

Untuk memastikan organisasi dipimpin berada dalam kelompok terbaik, pemimpin perlu bijak dalam merancang strategi untuk berfikir dan melihat sesuatu perkara secara ke depan berbekalkan perancangan teliti.

Pemimpin berpandangan jauh akan dapat memastikan organisasinya sentiasa berada di landasan tepat sejajar matlamat organisasi.

Natijahnya, kepimpinan berkualiti bukanlah mudah untuk dicapai kerana ia bukan sekadar keupayaan memberi arahan dengan baik menurut apa yang telah dirancang semata-mata.

Ia sebenarnya bermula daripada penonjolan ciri-ciri dalaman keperibadian diri yang terhasil daripada disiplin dan amalan mulia diterapkan sepanjang kehidupan kita.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp