Semakin lama seseorang skrol tanpa tujuan, semakin tinggi tahap rasa bersalah yang dialami terhadap masa yang dihabiskan di skrin. Foto: Canva. Gambar kecil: Profesor Dr Ahmad Zamzuri
Semakin lama seseorang skrol tanpa tujuan, semakin tinggi tahap rasa bersalah yang dialami terhadap masa yang dihabiskan di skrin. Foto: Canva. Gambar kecil: Profesor Dr Ahmad Zamzuri

Sindrom skrol melahirkan generasi yang kurang berfikir

10 Dec 2025 10:00am

Generasi media sosial kini hidup dalam ekosistem ledakan maklumat yang mengalir tanpa henti. Setiap saat mereka terdedah kepada ratusan klip video, grafik dan ciapan pendek yang bersaing untuk merebut perhatian penonton. Akibatnya, daya tumpuan dan keupayaan berfikir secara mendalam semakin terhakis.

Ledakan maklumat bertali arus ini menatijahkan maklumat dibaca secara sepintas lalu, ditonton tanpa direnung dan disebar tanpa difahami. Di mana, daya tumpuan semakin menurun kerana otak dilatih untuk cenderung berpindah dari satu kandungan ke satu kandungan yang lain dengan pantas. Akibatnya, dalam jangka panjang, keupayaan untuk berfikir secara mendalam, menilai konteks dan memahami makna akan semakin terhakis.

Fenomena ini lahir daripada apa yang disebut sebagai scroll syndrome atau zombie scrolling iaitu tabiat skrol skrin tanpa tujuan yang jelas. Dalam keadaan ini, pengguna terus menelusuri pelbagai kandungan media sosial tanpa arah atau kawalan, sekadar untuk mengisi masa lapang atau hiburan segera. Ia menyemai budaya membuat rumusan dengan membaca tajuk tanpa isi, mendengar separuh jalan dan menilai sesuatu isu tanpa cuba memahami konteks sebenar.

Foto: Canva
Foto: Canva

Kesan daripada tabiat ini amat membimbangkan. Pemahaman terhadap sesuatu isu menjadi semakin dangkal kerana minda tidak lagi dilatih untuk berfikir secara mendalam. Proses analisis dan tafsiran kendiri semakin jarang berlaku, menyebabkan pengguna mudah terpengaruh dengan maklumat separuh benar atau pandangan yang bersifat emosi. Dalam jangka panjang, keadaan ini melahirkan individu yang cepat membuat kesimpulan, tetapi lemah dalam berfikir secara kritikal dan reflektif.

Fenomena ini sebenarnya berpotensi melahirkan generasi yang menguasai banyak pengetahuan, tetapi hanya sekadar di permukaan. Di dunia yang serba segera ini, kesabaran untuk memahami sesuatu maklumat secara menyeluruh semakin merosot. Apa yang penting ialah menjadi orang pertama yang tahu dan sebar, bukan orang yang benar-benar faham konteks kandungan.

Kajian juga mendapati, tabiat skrol tanpa tujuan sebegini mempunyai kesan psikologi yang lebih besar daripada yang disangka. Semakin lama seseorang skrol tanpa tujuan, semakin tinggi tahap rasa bersalah yang dialami terhadap masa yang dihabiskan di skrin. Konflik antara keinginan untuk terus skrol dan kesedaran bahawa masa itu sepatutnya digunakan untuk perkara lain menjadi punca utama kepada rasa bersalah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Foto: Canva
Foto: Canva

Rasa bersalah ini juga akan menyebabkan tahap kesejahteraan harian menurun walaupun kesannya nampak kecil. Secara ringkasnya, skrol tanpa tujuan yang kelihatan tidak berbahaya sebenarnya mempunyai implikasi yang boleh membawa kesan negatif seperti penurunan daya tumpuan, timbulnya rasa bersalah, penurunan produktiviti, serta juga kesan buruk terhadap kesihatan mental.

Kita sebenarnya telah mula merasai kesan fenomena ini terhadap kesejahteraan masyarakat. Apabila timbul sahaja sesuatu isu, keinginan untuk menunggu dan memahami gambaran sebenar secara menyeluruh semakin terhakis. Sebaliknya, masyarakat kini lebih cenderung memberi reaksi segera berdasarkan tajuk, potongan video atau ulasan ringkas yang tular di media sosial, tanpa meneliti konteks menyeluruh dan kesahihan maklumat terlebih dahulu.

Secara kesimpulan, budaya skrol tanpa tujuan ini bukan sekadar tabiat dalam penggunaan media sosial, tetapi telah membentuk gaya hidup baharu yang mempengaruhi cara masyarakat berfikir, berinteraksi dan bertindak. Jika dibiarkan berlarutan tanpa bimbingan dan kawalan, ia berisiko melahirkan generasi yang mahir teknologi tetapi lemah dari segi emosi, empati dan nilai kemanusiaan. Justeru, pendidikan literasi digital yang seimbang amat diperlukan bagi membantu masyarakat menggunakan teknologi dengan lebih bijak.

Foto: Canva
Foto: Canva

Langkah kerajaan memperkenalkan had umur bagi pengguna media sosial wajar dilihat sebagai antara usaha konkrit untuk membendung kesan budaya skrol dalam kalangan remaja. Dalam ekosistem digital yang tiada sempadan masa dan maklumat, pengguna muda mudah terperangkap dalam sindrom skrol ini. Melalui pelaksanaan had umur, remaja tidak akan terdedah terlalu awal kepada arus kandungan yang memupuk ketagihan, penilaian dangkal, dan reaksi emosi berlebihan terhadap isu yang mereka sendiri belum mampu tafsir dengan matang.

Langkah ini memberi peluang kepada ibu bapa dan institusi pendidikan memperkukuh literasi digital agar generasi muda dibimbing menjadi pengguna media sosial yang beretika dan berfikir secara adil dalam membuat penilaian terhadap kandungan. Had umur ini bukan sekadar sekatan teknikal, tetapi benteng awal membina nilai dan kematangan digital supaya remaja tidak terperangkap dalam sindrom skrol.

Maklumat penulis:

Pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ringkasan AI

  • Generasi media sosial kini hidup dalam ekosistem ledakan maklumat yang mengalir tanpa henti
  • Daya tumpuan dan keupayaan berfikir secara mendalam semakin terhakis akibat terlalu banyak maklumat
  • Scroll syndrome atau zombie scrolling menyebabkan pengguna membaca dan mendengar informasi tanpa pemahaman mendalam
  • Kesan dari tabiat ini termasuk pemahaman yang dangkal, mudah terpengaruh, dan kurangnya kritikal serta pemikiran reflektif
  • Langkah kerajaan memperkenalkan had umur bagi pengguna media sosial merupakan usaha untuk membendung kesan negatif budaya skrol
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp