Pendekatan digital boleh menarik pelajar untuk mengambil bahagian dalam proses pelajaran tanpa banyak halangan. Gambar kecil: Nurul Nadiah
Pendekatan digital boleh menarik pelajar untuk mengambil bahagian dalam proses pelajaran tanpa banyak halangan. Gambar kecil: Nurul Nadiah

Strategi pengajaran interaktif era digital

02 Jul 2024 02:07pm

Perkembangan teknologi dan metodologi pendidikan telah membawa kepada transformasi pendekatan pengajaran di seluruh dunia. Seiring dengan perkembangan ini, penglibatan pelajar dalam mencapai keberkesanan pembelajaran perlu dititikberatkan oleh semua pihak.

Pengajaran interaktif kini menjadi pilihan utama dalam usaha memperkasakan pendidikan yang lebih berkesan dan relevan dengan keperluan pelajar. Pengajaran interaktif seperti penggunaan Kahoot, Padlet, Quizizz, Mentimeter, Genially serta pembelajaran atas talian perlu dipertengahkan untuk memastikan penglibatan aktif pelajar, bukan sahaja semasa aktiviti dalam kelas tetapi juga semasa aktiviti luar kelas.

Maklum balas positif dari pelajar berpendapat bahawa pengajaran interaktif tersebut lebih menarik dan menyeronokkan, menyumbang kepada pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik serta berkesan.

Pengajaran interaktif di institusi pendidikan bukan sahaja membawa manfaat kepada pelajar dan pendidik, tetapi juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, bertujuan untuk memastikan pendidikan yang inklusif serta saksama sekali gus mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Pihak kementerian juga mendapat faedah melalui peningkatan standard pendidikan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi yang lebih luas.

Untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran interaktif, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan.

Pertama, pembangunan modul pengajaran yang menggabungkan penggunaan teknologi interaktif perlu dilaksanakan dan diuji keberkesanannya dalam pelbagai konteks pembelajaran.

Kedua, latihan intensif yang berterusan perlu disediakan kepada guru-guru mengenai penggunaan teknologi interaktif dalam pengajaran, termasuk bengkel, kursus dalam talian, dan sesi perkongsian amalan terbaik.

Artikel Berkaitan:

Ketiga, memastikan sekolah-sekolah dan pusat pendidikan mempunyai akses kepada infrastruktur teknologi mencukupi seperti internet berkelajuan tinggi, peralatan digital terkini, serta sokongan teknikal yang berterusan.

Keempat, meningkatkan penglibatan komuniti dan ibu bapa dalam proses pembelajaran dengan mengadakan sesi penerangan serta latihan mengenai manfaat pengajaran interaktif.

Kelima, melaksanakan penilaian dan penyelidikan berterusan mengenai keberkesanan strategi pengajaran interaktif untuk memperbaiki serta mengembangkan pendekatan yang lebih berkesan.

Dengan memperkenalkan dan mengukuhkan strategi pengajaran interaktif, kita dapat memastikan pendidikan yang lebih berkesan serta relevan dengan keperluan masa kini. Melalui sokongan berterusan daripada semua pihak, kita mampu membina generasi masa depan yang lebih berdaya saing, kreatif, dan inovatif.

Maklumat penulis

Pensyarah Kanan, Uniten Business School, Universiti Tenaga Nasional, Nurul Nadiah Ahmad

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp