Terengganu mampan inovasi dan kuasa komuniti
Terengganu, negeri yang kaya dengan sumber alam dan budaya, sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam perancangan dan pembangunan ekonominya.
Terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia, Terengganu terkenal dengan keindahan alam semulajadinya, seperti pantai yang memukau dan pulau-pulau yang menawan.
Namun, di sebalik keindahan ini, terdapat isu-isu penting yang perlu ditangani untuk memastikan pembangunan yang mampan dan seimbang.
Antaranya ialah sektor minyak dan gas yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Terengganu.
Walau bagaimanapun, ketergantungan yang tinggi kepada sektor ini menjadikan ekonomi negeri ini terdedah kepada turun naik harga minyak global.
Ini menyebabkan ketidakstabilan dalam pendapatan negeri serta mempengaruhi perancangan pembangunan. Jadi, isu ini penting untuk kerajaan negeri diversifikasi ekonomi dengan membangunkan sektor lain seperti pelancongan, pertanian, perikanan dan teknologi maklumat.
Selain daripada itu, pembangunan infrastruktur yang berkualiti adalah prasyarat penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
Di Terengganu, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan seperti jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang.
Walaupun terdapat beberapa projek infrastruktur yang telah dilaksanakan, seperti pembinaan LPT2 (Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2), masih banyak kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian.
Keterhubungan yang baik dapat menarik pelaburan dan meningkatkan akses kepada pasaran.
Pembangunan sumber manusia merupakan elemen penting dalam mencapai matlamat pembangunan ekonomi.
Terengganu memerlukan lebih banyak program latihan dan pendidikan untuk meningkatkan kemahiran rakyatnya.
Kualiti pendidikan yang rendah boleh menyebabkan kekurangan tenaga kerja yang berkelayakan untuk menyokong industri yang sedang berkembang.
Oleh itu, kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan kerjasama antara institusi pendidikan dan sektor industri bagi memastikan tenaga kerja siap untuk memenuhi keperluan pasaran.
Isu pemeliharaan alam sekitar juga menjadi perhatian utama dalam perancangan pembangunan ekonomi.
Terengganu, dengan kekayaan sumber alamnya, menghadapi cabaran dalam menjaga keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam.
Aktiviti ekonomi seperti pelancongan, pembalakan dan pertanian perlu dijalankan dengan mengambil kira impak terhadap alam sekitar.
Pelaksanaan dasar yang lebih ketat mengenai pengurusan sumber alam adalah penting untuk memastikan pembangunan yang lestari.
Sektor pelancongan juga adalah sektor yang berpotensi tinggi untuk diperkembangkan di Terengganu. Dengan keindahan pantai, pulau-pulau dan warisan budaya, negeri ini mempunyai banyak daya tarikan untuk pelancong.
Walau bagaimanapun, terdapat keperluan untuk memperbaiki kemudahan dan perkhidmatan pelancongan. Kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan pakej pelancongan yang menarik dan berdaya saing.
Peningkatan promosi dan pemasaran juga perlu dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
Selain daripada itu, inovasi dan penggunaan teknologi moden turut meningkatkan daya saing dalam sektor ekonomi.
Terengganu perlu menekankan kepada pembangunan teknologi dan penyelidikan dalam sektor pertanian, perikanan dan perindustrian.
Kerajaan negeri boleh mengambil langkah dengan menggalakkan penglibatan syarikat teknologi untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang boleh meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Terakhir ialah pembangunan ekonomi yang berkesan perlu melibatkan penglibatan masyarakat setempat. Komuniti perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat dan melibatkan diri dalam proses perancangan.
Program pembangunan yang mengambil kira pandangan dan keperluan penduduk setempat akan lebih berjaya dan diterima.
Kerajaan negeri harus mengambil langkah untuk memudahkan komunikasi antara pihak berkuasa dan masyarakat.
Kesimpulannya, perancangan dan pembangunan ekonomi di Terengganu memerlukan pendekatan yang holistik dan bersepadu.
Ketergantungan kepada sektor tertentu, isu infrastruktur, pembangunan sumber manusia, pengurusan alam sekitar, potensi pelancongan, inovasi dan penglibatan komuniti adalah antara cabaran yang perlu ditangani.
Dengan mengambil langkah yang tepat dan strategik, Terengganu boleh mencapai matlamat pembangunan ekonomi yang mampan dan seimbang, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.
Dalam menghadapi cabaran ini, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat adalah kunci untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk Terengganu.
“Pembangunan Mampan di Terengganu: Memperkasakan Ekonomi melalui Inovasi dan Komuniti” merupakan pendekatan yang memberi tumpuan kepada integrasi antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.
Impak pembangunan mampan di Terengganu ini, yang mengutamakan inovasi dan penglibatan komuniti, boleh memberi kesan yang mendalam dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial dan politik.
Pembangunan mampan yang mengutamakan inovasi dan penyertaan komuniti mempunyai impak besar terhadap ekonomi negeri Terengganu.
Diversifikasi ekonomi merupakan salah satu satu impak sekiranya pembangunan mampan ini berjaya di Terengganu.
Apabila kerajaan memberi fokus kepada sektor-sektor yang berasaskan inovasi dan kelestarian, seperti tenaga boleh diperbaharui, pertanian pintar dan industri hijau.
Terengganu dapat mengurangkan pergantungan terhadap sumber ekonomi yang tidak lestari, seperti minyak dan gas.
Sebagai contoh, inisiatif seperti pembangunan tenaga solar atau penggunaan teknologi hijau dalam pertanian dapat membuka peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan sektor-sektor baru.
Hal ini kerana, projek penggunaan tenaga suria di kawasan luar bandar dapat memberi peluang pekerjaan baru dalam bidang pemasangan dan penyelenggaraan panel solar.
Selain itu, dapat membantu mengurangkan kos elektrik dan memberi akses tenaga yang lebih murah.
Seterusnya, pendapatan masyarakat setempat juga akan meningkat. Penglibatan komuniti dalam projek pembangunan mampan, golongan luar bandar dapat meraih manfaat langsung melalui peluang perniagaan kecil, pemasaran produk tempatan dan peningkatan produktiviti.
Usahawan kecil di Terengganu boleh memanfaatkan sumber-sumber semula jadi secara mampan untuk menghasilkan produk berasaskan tempatan yang mempunyai nilai tambah.
Sebagai contoh, projek-projek pertanian organik yang melibatkan komuniti setempat dapat membantu petani meningkatkan hasil mereka secara berterusan, memberi akses kepada pasaran tempatan dan antarabangsa, sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga mereka.
Pembangunan mampan di Terengganu yang menekankan inovasi dan penglibatan komuniti juga memberi impak besar terhadap aspek sosial, terutamanya dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat negeri tersebut.
Pembangunan infrastruktur yang lebih baik, seperti kemudahan pengangkutan, akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan kemudahan awam, akan meningkatkan kualiti hidup penduduk Terengganu.
Contohnya, penggunaan teknologi hijau dalam bangunan dan perumahan yang lebih mesra alam boleh membantu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan penduduk, selain menjamin alam sekitar yang lebih bersih dan sihat.
Sebagai contoh, projek rumah mampu milik yang dibangunkan dengan teknologi hijau akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan kurang memberi impak negatif terhadap alam sekitar.
Di samping itu, pembangunan komuniti dan penyertaan sosial dalam ekonomi.
Dengan memberi penekanan kepada penglibatan komuniti dalam pembangunan, rakyat Terengganu diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada proses pembuatan keputusan dan pelaksanaan projek.
Hal ini dapat meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat, serta membina semangat perpaduan.
Contohnya, program-program yang melibatkan komuniti dalam projek perlindungan alam sekitar atau pembinaan pusat kemahiran tempatan akan memberi peluang kepada golongan muda untuk mendapat latihan, menjadikan mereka lebih berkemahiran dan menyediakan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar.
Pembangunan mampan yang melibatkan inovasi dan penglibatan komuniti juga memberi impak kepada landskap politik Terengganu.
Dalam pembangunan mampan juga dapat meningkatkan kestabilan politik. Pembangunan yang adil dan berterusan, yang melibatkan semua lapisan masyarakat dalam proses perancangan dan pelaksanaan, akan meningkatkan rasa kepemilikan dan kepercayaan terhadap kerajaan.
Jika masyarakat merasakan bahawa mereka mendapat manfaat daripada pembangunan, hal ini boleh meningkatkan kestabilan politik di negeri tersebut.
Contohnya, program pembangunan komuniti yang melibatkan warga emas dan golongan muda dalam keputusan pembangunan dapat meningkatkan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi dan meningkatkan kepercayaan terhadap kerajaan.
Secara keseluruhannya, “Pembangunan Mampan di Terengganu: Memperkasakan Ekonomi melalui Inovasi dan Komuniti” memberi impak positif yang besar kepada aspek ekonomi, sosial dan politik.
Melalui penglibatan komuniti dan penekanan terhadap inovasi serta kelestarian, pembangunan ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan negeri dan kualiti hidup rakyat, tetapi juga memperkukuh kestabilan politik dan membangunkan dasar-dasar yang menyokong kemajuan berterusan.
Walau bagaimanapun, kejayaan ini bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan dan komitmen bersama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Hamiza Mat Yazid
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) & Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my