TikTok Shop: Revolusi e-dagang terkini di Malaysia
TikTok ialah aplikasi video pendek yang dilancarkan awal September tahun 2016 oleh sebuah syarikat di Bytedance, China.
Aplikasi ini merekodkan 100 juta pengguna dan lebih sejuta tontonan video dalam sehari sekali gus menjadikan TikTok lebih popular dan berkembang di luar China dengan nama yang lebih menarik perhatian.
Selain itu, Tiktok mempunyai Tiktok Shop yang merupakan platform e-dagang baharu untuk perniagaan. Peniaga boleh mempromosi dan menjual produk mereka melalui video in-Feed dan live.
Tiktok Shop banyak membantu usahawan/peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta pemborong menjual produk dengan kapasiti yang lebih luas serta telah dilancarkan April 2022 di Malaysia.
Dengan kemudahan yang disediakan, pengguna TikTok kini dapat menjelajah dan membeli produk diingini dengan lebih mudah dan pantas.
Baru- baru ini, peniaga produk kosmetik, Rozyana Roslan telah mencipta fenomena luar biasa dengan menawarkan potongan harga sangat menarik kepada pembelinya.
Siaran langsung yang dilakukan itu memberikan kepuasan kepada pembeli, malah mereka berpeluang mendapatkan promosi hebat dengan potongan harga ekslusif termasuk penghantaran percuma.
Keadaan ini menyebabkan ramai pengguna beralih dari platform seperti Shopee ke TikTok Shop untuk merasai pengalaman membeli-belah yang lebih memuaskan dan berbaloi.
TikTok Shop bukan sahaja platform e-dagang pilihan masa kini, tetapi ia juga pintu peluang peniaga menyebarluaskan dan menjinakkan pasaran dengan efektif.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia mencatatkan pencapaian luar biasa dalam arena e-dagang pada suku ketiga 2021 dengan menjana pendapatan sehingga RM279 bilion yang mana menunjukkan peningkatan luar jangka 17.1 peratus berbanding suku ketiga tahun sebelumnya.
Kehebatan ini turut diperteguhkan dengan kemunculan TikTok Shop, platform e-dagang yang mula beroperasi April 2022 yang membuka peluang dan ruang luas kepada PKS memperluaskan pasaran produk mereka.
TikTok Shop memberikan peluang kepada PKS memasarkan produk tanpa memerlukan modal besar dan tanpa kedai fizikal.
Dengan menyediakan kemudahan seperti proses pembelian, sistem pembayaran yang selamat dan penghantaran terjamin untuk penguna, TikTok Shop membantu meneguhkan hubungan kepercayaan antara peniaga dan pelanggan.
Kelebihan TikTok yang paling ketara ialah dalam satu platform, penjual dapat menjalankan pelbagai urusan menjual dan promosi produk secara serentak serta menjimatkan masa dan usaha.
Dengan pertumbuhan pesat pengguna TikTok, ia membuka peluang besar kepada penjual dan secara tidak langsung memberi dorongan positif kepada ekonomi negara.
Sementara itu, TikTok telah berkembang menjadi platform amat berpengaruh dalam kalangan remaja masa kini.
Kini, hampir 80 peratus remaja di Malaysia memiliki akaun TikTok di dalam telefon bimbit mereka.
Keadaan ini secara tidak langsung telah menjadikan aplikasi berkenaan sebagai pemangkin utama urusan jual beli di TikTok Shop.
Lebih menarik lagi, TikTok bukan hanya platform hiburan semata-mata tetapi juga menjadi medan subur membina perniagaan.
Bagi individu yang ingin mengembangkan perniagaan, TikTok muncul sebagai platform yang mempunyai potensi besar untuk mencapai matlamat mereka.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nurul Syahirah Idris dan Siti Daleela Mohd Wahid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my