Tuisyen dalam talian: Implikasi kepada pendidikan pelajar
Dalam konteks era digital moden, pendidikan telah berkembang melangkaui batasan bilik darjah tradisional.
Dengan kemunculan pembelajaran dalam talian, pelajar kini berpeluang menerima pendidikan berkualiti tinggi dari rumah secara kreatif dan interaktif. Ini dimungkinkan dengan adanya tuisyen dalam talian.
Perubahan revolusi ini telah melahirkan pelbagai platform tuisyen dalam talian di pasaran seiring dengan kemajuan teknologi masa kini dan hasrat kerajaan untuk mentransformasikan pendidikan negara.
Di samping itu untuk membantu pelajar lebih menguasai subjek yang telah mereka pelajari disekolah.
Dengan bermodalkan komputer atau telefon pintar bersama akses internet yang stabil, pelajar boleh menyertai ini dengan selesa dan fleksibel.
Terdapat banyak platform tuisyen dalam talian lain yang tersedia yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan.
Ini kerana setiap pelajar mempunyai tahap penerimaan ilmu yang berbeza. Walaubagaimanapun, apa yang penting tenaga pengajar mempunyai kelayakan, pengetahuan dan pengalaman mengajar dalam subjek dan dapat memberi bimbingan adalah satu keutamaan.
Kemahiran menguasai dan berkomunikasi yang efektif dapat membantu ke arah pemahaman pelajar dengan lebih baik.
Manakala kelebihan mempunyai ijazah dalam bidang berkaitan merupakan satu bonus. Pelajar berhak memilih tenaga pengajar yang mereka selesa. Tepuk dada tanya selera anak yang belajar.
Aplikasi Webex, Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams kerap digunakan untuk cara komunikasi segerak. Kaedah ini menekankan kepada tahap kelajuan jalur lebar (bandwidth) yang tinggi.
Keberkesanan aplikasi yang dinyatakan ini tidak perlu dinafikan. Tegasnya dengan wujudnya inovasi dalam pendidikan, dapat merungkai permasalahan yang mungkin dipandang sinis bagi sesetengah pihak tapi memberi implikasi besar kepada kemajuan generasi yang akan datang.
Malahan sekiranya terdapat kekangan masa, pelajar boleh menonton class replay yang disediakan bagi mengelakkan keciciran.
Jika diselidiki, ada banyak juga kebaikan pembelajaran dalam talian ini di mana pihak penganjur tidak perlu mencetak nota untuk diberikan kepada pelajar sewaktu sesi pembelajaran.
Nota dan latihan ini telah dibekalkan dalam talian sedari awal sebelum sesi bermula. Manakala di pihak ibu bapa pula kaedah ini dapat menjimatkan dari segi masa, dan wang ringgit yang mana tidak perlu bersesak untuk menghantar dan mengambil anak.
Cuma ibu bapa perlu melakukan sedikit pemantauan sewaktu aktiviti berlangsung dalam memastikan fokus pelajar konsisten.
Minda manusia berasaskan tiga potensi utama yakni kepintaran, kreativiti dan kebijaksanaan. Ketiga elemen ini mesti disemai dan dirangsang agar kita dapat menggunakan secara optimum.
Dengan adanya hubungan yang bersifat simbiotik ini dapat memungkinkan penyampaian dan penerimaan ilmu yang berkesan.
Oleh itu, tenaga pengajar juga sentiasa diharap agar mencabar keupayaan berfikir dan percambahan idea dalam sesi interaksi bersama pelajar.
Sesungguhnya pelajar yang kreatif dan inovatif akan sentiasa berfikir, berani dan yakin dengan keupayaan diri mereka dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang lebih besar kelak.
Tuntasnya, sistem pendidikan telah mengalami transformasi yang ketara ekoran daripada penularan wabak Covid-19, dengan berlakunya peralihan pengajaran dan pembelajaran (PdP) konvensional kepada PdP secara dalam talian terutama tuisyen dalam talian.
Ini turut memberi impak kepada pusat tuisyen yang menukar kaedah tradisional bersemuka secara ke alam maya.
Dengan pengenalan kepada beberapa aplikasi moden, ia membuka ruang dan peluang kepada tenaga pengajar dan pelajar khususnya untuk mendalami pengalaman baru yang jauh lebih mudah dan relevan kepada generasi baru ini.
Walau bagaimana pun pengukuran terhadap tahap pencapaian dan kesediaan pelajar terhadap dunia baru ini amat penting dan memerlukan pengawasan dari ibu bapa juga.
Pandangan dari beberapa pihak berkepentingan perlu diambil kira semoga tiada berlaku permasalahan kelak.
Maklumat penulis
Pensyarah Kanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Nik Syuhailah Nik Hussin
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my