Setiap hari yang dijalani akan menjadi hari yang menggembirakan kerana mereka akan belajar perkara baharu. (Gambar hiasan)
Setiap hari yang dijalani akan menjadi hari yang menggembirakan kerana mereka akan belajar perkara baharu. (Gambar hiasan)

Kepentingan perkasa budaya kreativiti untuk pendidik era digital

16 Jul 2024 08:00am

Kreativiti merupakan salah satu kemahiran penting selain kolaborasi, komunikasi dan pemikiran kritis.

Kreaktiviti adalah kemahiran yang penting kepada pelajar dalam pendidikan abad ke-21.

Era digital berasaskan penggunaan teknologi memerlukan pendidik agar kreatif dalam merancang pengajaran mereka dengan lebih berkesan.

Pendidik yang kreatif akan membawa pelajar ke arah pencapaian akademik yang cemerlang. Malah, mereka perlu menyediakan pelajar untuk kejayaan akademik selain memupuk minat untuk belajar dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran penting untuk masa depan.

Kurangnya penglibatan pelajar di dalam bilik darjah akan menyebabkan kebosanan dan motivasi kepada pelajar.

Sesi pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif akan membolehkan pelajar mengambil bahagian dan berkongsi idea yang seterusnya akan memberi ruang yang cukup kepada pendidik untuk meningkatkan motivasi pelajar. Ia kerana dalam persekitaran bilik darjah, faktor penyumbang kepada kurangnya motivasi pelajar ialah kurangnya penglibatan aktif pelajar semasa sesi pengjaran dan pembelajaran dilaksanakan.

Akan tetapi sekiranya pelajar didedahkan dengan persekitaran pembelajaran yang kondusif, pelajar akan lebih cenderung untuk menghadiri kelas dengan kerap, mengambil bahagian secara aktif dan sekaligus dapat mencapai hasil pencapaian pembelajaran yang lebih baik

Dalam era digital, memperkasakan kreativiti dalam kalangan warga pendidik bukan sahaja satu keperluan tetapi juga sebagai satu transformatif dalam landskap pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Kemajuan pesat dalam teknologi memberi peluang kepada para pendidik untuk memanfaatkan peralatan digital, platform dan pedagogi untuk meningkatkan pengalaman dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Transformasi ini melibatkan integrasi teknologi dalam bilik darjah, pembangunan literasi digital, penggalakan pendekatan pedagogi yang inovatif dan pemupukan minda kreatif dalam kalangan pendidik.

Kepentingan untuk menggalakkan kreativiti dalam pengajaran dalam kalangan pendidik adalah untuk memastikan pelajar sentiasa mempunyai motivasi untuk belajar.

Pendidik yang kreatif akan membawa pelajar ke arah pencapaian akademik yang cemerlang. (Gambar hiasan)
Pendidik yang kreatif akan membawa pelajar ke arah pencapaian akademik yang cemerlang. (Gambar hiasan)

Setiap hari yang dijalani akan menjadi hari yang menggembirakan kerana mereka akan belajar perkara baharu. Salah satu aspek yang paling penting dalam memperkasakan kreativiti dalam kalangan pendidik ialah penintegrasian teknologi ke dalam proses pendidikan.

Peralatan digital seperti papan putih interaktif, komputer riba, platform digital seperti sistem pengurusan pembelajaran (LMS) dan aplikasi pendidikan seperti gamifikasi, simulasi dan realiti maya telah merevolusikan bagaimana cara pendidik menyampaikan kandungan dengan memggalakkan penglibatan aktif dengan pelajar. Alat ini membolehkan pendidik mencipta pelajaran dinamik dan interaktif yang boleh memenuhi gaya pembelajaran yang berbeza.

Oleh itu, pendidik perlu meneroka pelbagai sumber pembelajaran agar proses penyampaian maklumat dapat dikongsi dengan pelajar dengan lebih berkesan. Untuk melakukan ini, pendidik boleh menggunakan teknologi sebagai pemudahcara bagi keberkesanan kreativiti dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, pendidik perlu mengamalkan pendekatan atau kaedah pengajaran baharu agar pelajar dapat memahami maklumat dan pengetahuan pada akhir pelajaran.

Apabila pengajaran dijalankan dengan berkesan maka pendidik akan lebih berkeyakinan dalam memastikan hasil pembelajaran dijalankan secara berkesan.

Pendekatan pedagogi yang inovatif juga adalah asas dalam memperkasakan kreativiti dalam kalangan pendidik. Model pendidikan tradisional yang berpusatkan guru perlu digantikan dengan pendekatan yang lebih berpusatkan pelajar yang mengutamakan pembelajaran aktif, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan inkuiri dan pembelajaran berbalik adalah contoh pendekatan yang menggalakkan kreativiti dan kerjasama dalam kalangan pelajar.

Pengajaran yang kreatif perlu diamalkan dalam kalangan pendidik kerana dapat membantu mereka meningkatkan keupayaan kreativiti pelajar. Antara langkah untuk meningkatkan keupayaan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis adalah seperti pendidik menyediakan diri mereka dengan pengetahuan dan pemahaman yang mendalam berkaitan kemahiran berfikir dan memahami kemahiran kognitif aras tinggi untuk meningkatkan daya kreativiti.

Pemupukan minda kreatif penting dalam memperkasakan pendidik untuk berfikir di luar kotak dan menerima amalan pengajaran yang inovatif.

Kreativiti dalam pendidikan bukan hanya tentang bagaimana menggunakan alat digital tetapi juga mengenai memupuk persekitaran yang menggalakkan perubahan, pengambilan risiko dan penambahbaikan secara berterusan.

Pendidik perlu terbuka kepada idea-idea baharu dan bersedia menyesuaikan kaedah pengajaran mereka untuk memenuhi keperluan perubahan pelajar mereka.

Ia kerana pendidik merupakan suri teladan terbaik yang memberi impak kepada personaliti pelajar mereka yang mana elemen kreaktiviti dalam kalangan pendidik memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk sikap kreatif dalam kalangan pelajar ke arah pencapaian akademik yang cemerlang.

Pembangunan literasi digital adalah satu lagi elemen penting dalam memperkasakan kreativiti dalam kalangan pendidik.

Dalam era digital, adalah penting bagi pendidik memiliki tahap kecekapan digital yang tinggi untuk menggunakan teknologi secara berkesan dalam amalan pengajaran mereka.

Literasi digital melibatkan bukan sahaja keupayaan untuk menggunakan alatan digital tetapi juga keupayaan untuk menilai secara kritis kandungan digital, mencipta media digital dan memahami implikasi etika teknologi digital.

Program pembangunan profesional dan latihan berterusan adalah penting dalam membantu pendidik memperoleh dan mengemas kini kemahiran digital mereka.

Dengan menjadi mahir dalam literasi digital, para pendidik boleh meneroka teknologi baharu dengan lebih berkeyakinan dan mengintegrasikannya dalam pengajaran mereka.

Seterusnya, institusi pendidikan juga perlu memainkan peranan penting dalam mewujudkan budaya sokongan untuk meningkatkan budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan pendidikan dalam era digital.

Penggunaan pesat media sosial dan rangkaian profesional dalam talian seperti Twitter, LinkedIn dan forum online memberi peluang kepada pendidik untuk membuat perbincangan, mengakses sumber dan mendapatkan pengetahuan dengan perkembangan terkini dalam pendidikan agar para pendidik boleh kekal bermaklumat, berkongsi pengalaman mereka dan mendapat inspirasi daripada amalan kreatif orang lain.

Kesimpulannya, kesan elemen kreatif ini dapat membantu dalam pencapaian akademik adalah ketara.

Pelajar yang terlibat dan bermotivasi akan lebih berkeyakinan untuk memahami dan mengekalkan maklumat, menghadiri kelas dengan kerap dan mengambil bahagian secara aktif.

Efikasi kendiri yang lebih tinggi dan keyakinan yang diperoleh melalui penglibatan yang aktif di dalam bilik darjah dan dalam tugasan berkonsepkan kreativiti yang mencabar akan mendorong ke arah prestasi akademik yang lebih baik.

Kemahiran dan sikap yang dipupuk oleh pendidik yang kreatif menyediakan pelajar untuk kejayaan keberkesanan dalam jangka panjang di luar konteks bilik darjah. Ia sekali gus akan memberi kemampuan kepada pelajar untuk membina sikap positif terhadap pembelajaran yang juga akan menimbulkan minat dalam pembelajaran secara berterusan Keupayaan untuk berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah, bekerjasama secara berkesan dan mendekati pembelajaran dengan penuh semangat adalah penting untuk kejayaan peribadi dan profesional.

Oleh yang demikian, dengan mengutamakan elemen kreativiti dan inovasi dalam kaedah pengajaran, pendidik bukan sahaja dapat meningkatkan kreativiti tetapi juga melengkapkan pelajar dengan kemahiran kreativiti untuk dijadikan amalan secara berterusan.

Maklumat Penulis

Ketua Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Madya Ts Dr Siti Hajar Halili

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp