Mohd Zabri (tiga dari kiri) melihat peralatan baharu ketika Majlis Perasmian Peralatan Perubatan RMK12 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin.
Mohd Zabri (tiga dari kiri) melihat peralatan baharu ketika Majlis Perasmian Peralatan Perubatan RMK12 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin.

KPT peruntuk RM53 juta tingkat kualiti fasiliti HCTM

31 Oct 2023 04:48pm
A
A
A

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan sejumlah RM53 juta kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi meningkatkan lagi kualiti fasiliti perawatan kesihatan di hospital itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu bertujuan menggantikan alat usang di bahagian perkhidmatan Radiologi, Dewan Bedah, Endoskopi serta Radioterapi dan Onkologi di HCTM.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM9.2 juta diperuntukkan bagi perolehan dua peralatan perubatan iaitu alat Angiografi Biplane di Jabatan Radiologi dan alat Fluroskopi di Pusat Perkhidmatan Endoskopi, yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

“Saya yakin, hasil peruntukan yang besar ini akan membolehkan penggunaan peralatan perubatan berteknologi terkini dan canggih sekali gus meningkatkan tahap dan kualiti perkhidmatan rawatan di hospital ini.

“Sebagai sebuah hospital pengajar yang telah beroperasi selama 26 tahun, sudah pastilah pelbagai kemudahan, fasiliti dan peralatan yang diguna pakai selama ini memerlukan penaiktarafan, penggantian serta pembaharuan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peralatan Perubatan RMK12, di sini pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.

Mohamed Khaled berkata, KPT amat berbesar hati menyokong perancangan peningkatan keupayaan di hospital itu melalui penambahan alat canggih yang sebahagiannya bertujuan menggantikan alat telah usang.

“Kita sedar, ini adalah satu keperluan yang tidak boleh dielakkan. Lebih-lebih lagi, bagi KPT, kualiti dan mutu ekosistem pengajian perubatan dan kecekapan perkhidmatan yang hospital pengajar universiti tawarkan kepada orang awam tidak boleh dikompromikan sama sekali,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, peralatan perubatan yang diterima sebahagiannya menjadi peralatan utama dan sokongan kepada pelbagai jenis alat perubatan sedia ada di HCTM dianggarkan melebihi 8,000 unit.

“Secara ringkasnya, peralatan perubatan digunakan di HCTM boleh dikategorikan kepada empat bahagian utama iaitu peralatan Radiologi dan Pengimejan, Terapeutik, Diagnostik dan peralatan makmal,” jelas beliau.

Tambahnya, selaras dengan perkembangan terkini, peralatan perubatan yang digunakan di HCTM juga menggunakan peralatan berasaskan teknologi AI.

“Teknologi AI ini dimanfaatkan dalam peralatan pengimejan seperti peralatan Angiografi, Fluroskopi, Magnetic Resonance Imaging (MRI), X-ray dan sebagainya. Teknologi AI ini telah banyak membantu dalam proses diagnosis perawatan yang dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, efisien dan tepat,” ulasnya. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok