Barisan penyelidik UTeM yang menghasilkan inovasi bekas plastik mesra alam berasaskan ubi kayu dan daun pisang baru-baru ini.
Barisan penyelidik UTeM yang menghasilkan inovasi bekas plastik mesra alam berasaskan ubi kayu dan daun pisang baru-baru ini.

Kumpulan penyelidik UTeM bangunkan inovasi bekas plastik mesra alam berasaskan ubi kayu dan daun pisang

ROSHLAWATY MD RAIEH
31 Mar 2023 04:35pm
A
A
A

Baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah membangunkan inovasi bekas plastik mesra alam yang dihasilkan daripada ubi kayu dan daun pisang.

Menurut Ketua Penyelidik, Dr Ridhwan Jumaidin, bekas plastik dalam bentuk dulang itu selamat untuk digunakan dan juga mesra alam apabila mahu dilupuskan.

Katanya, inovasi tersebut boleh digunakan bagi tujuan pembungkusan produk dan yang paling utama ia dapat mengurangkan implikasi pencemaran alam sekitar.

Menjelaskan tentang keistimewaan produk ini, Ridhwan yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), UTeM berkata, kelainannya ia dibangunkan daripada sumber semula jadi yang lazimnya digunakan dalam industri makanan iaitu ubi kayu dan daun pisang.

“Bekas plastik ini mesra alam dan bebas daripada toksik serta bahan kimia berbahaya berbanding plastik biasa di mana bahan asasnya adalah petroleum yang menghasilkan toksik apabila dilupuskan melalui pembakaran.

No Image Caption

“Plastik sintetik daripada petroleum ini tidak boleh lupus jika dibuang ke tanah, sungai atau laut berbeza dengan plastik yang dihasilkan daripada sumber daun pisang yang boleh lupus hanya dalam tempoh lapan minggu sahaja sekiranya ditanam di dalam tanah.

“Selain mesra alam, ia juga selamat digunakan kerana bersifat termoplastik iaitu boleh dikitar semula dan menghasilkan bentuk produk yang berbeza sekali gus dapat menjimatkan sumber yang digunakan dan memberi nilai tambah kepada produk inovasi ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Inovasi bekas plastik mesra alam ini dibangunkan sekumpulan penyelidik FTKMP iaitu Ilya Rosyafiqah Jaffry Ros, Nuraliah Ahmad Diah, Dr Mastura Mohamad Taha, Dr Syahibudil Ikhwan Abdul Kudus, Febrian Idral, Dr Nuzaimah Mustafa, Dr Yusliza Yusuf, Dr Syahrul Azwan Sundi@Suandi dan Dr Nazri Huzaimi Zakaria.

Selain itu, ia turut dihasilkan secara bersama dengan empat penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) iaitu Dr Mohd Adrinata Shaharuzaman, Dr Noryani Muhammad, Dr Nadlene Razali dan Dr Muhd Ridzuan Mansor.

Ridhwan bersama produk yang telah berjaya dihasilkan.
Ridhwan bersama produk yang telah berjaya dihasilkan.

Idea awal

Melihat realiti alam sekitar yang semakin tercemar akibat pembuangan sisa plastik yang tidak lupus ke dalam sungai, laut dan tanah, timbul idea dalam kalangan penyelidik UTeM untuk menghasilkan satu inovasi.

“Sisa plastik yang tidak lupus membahayakan keseimbangan alam semula jadi dan flora serta fauna seperti kes penemuan plastik di dalam perut penyu dan juga ikan paus yang menjadi punca kematian hidupan eksotik.

“Justeru, bahan baharu yang terhasil daripada sumber yang boleh diperbaharui amat diperlukan bagi menggantikan plastik yang tidak mesra alam ini.

“Selain itu, adanya sumber-sumber semula jadi seperti daun pisang di negara ini turut menjadi pencetus idea untuk menggunakan sumber-sumber tersebut sebagai bahan asas dalam penghasilan plastik boleh lupus ini,” katanya dengan menambah projek pembangunan produk inovasi ini mengambil masa lebih kurang setahun menggunakan dana Geran Penyelidikan Jangka Pendek.

Mengulas mengenai cabaran dalam pembangunan produk, Ridhwan menyatakan cabaran utama adalah mendapatkan kestabilan dan kekuatan bahan pada daun pisang yang menjadi teras dan struktur peneguhnya.

“Plastik mesra alam ini disasarkan menjadi bahan utama dalam penghasilan produk sekali guna (single-use product) yang dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Kini, plastik mesra alam berjaya menghasilkan produk pembungkusan berbentuk dulang yang boleh digunakan untuk tujuan pembungkusan produk,” jelas beliau.

No Image Caption

Terus kreatif membangunkan inovasi

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, sebagai universiti teknikal berprestij UTeM menerusi kumpulan penyelidiknya terus kreatif dan inovatif membangunkan produk inovasi yang memberi impak kepada komuniti sejagat.

Jelasnya, budaya penyelidikan dan perkongsian kepakaran UTeM terus diperkasakan lalu menampakkan hasil yang berimpak tinggi buat semua selari dengan peranan UTeM.

“Penyelidikan yang dijalankan sentiasa mengikuti arus semasa dan kami sentiasa bersama menerajui gelombang kemodenan teknologi yang berlaku di peringkat nasional dan global,” ujarnya.

Mengulas lanjut berkenaan produk tersebut, beliau menyatakan pembangunan plastik daripada daun pisang adalah selaras dengan hasrat kerajaan melalui Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030.

Antaranya, mensasarkan untuk memperkasakan pengeluaran tempatan bagi penghasilan produk mesra alam.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok