Tiada syarat ketat dikenakan untuk pelajar yang berminat untuk mempelajari kemahiran fotografi di IKBN.
Foto: Andre Futardo
Tiada syarat ketat dikenakan untuk pelajar yang berminat untuk mempelajari kemahiran fotografi di IKBN. Foto: Andre Futardo

Kursus Teknologi Fotografi hanya di IKBN Kuala Langat

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
13 Mar 2023 10:38am

Pembelajaran yang menekankan latihan praktikal berbanding teori secara tidak langsung menjadikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) berbeza dengan institusi pengajian yang lain.

Malah pendekatan itu juga antara pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk menyambung pengajian dalam bidang kemahiran.

Mana tidaknya, semua kursus yang ditawarkan di IKBN lebih menekankan latihan praktikal (hands on) berbanding teori termasuklah kursus Teknologi Fotografi yang satu-satunya ditawarkan di IKBN Kuala Langat, Selangor.

Mohd Hatim
Mohd Hatim

Ketua Bahagian Fotografi, IKBN Kuala Langat, Mohd Hatim Mazlan berkata, silibus pembelajaran IKBN memfokuskan latihan praktikal sebanyak 80 peratus bagi komponen penilaian atau markah lulus, manakala 20 peratus lagi untuk teori.

Tambahnya, pelajar yang mengikuti kursus Teknologi Fotografi ini turut diberi peluang untuk mempelajari dan menimba pengalaman bekerja di lapangan terutamanya ketika Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan sebarang acara atau majlis.

“Melihat kepada penerimaan semua pihak dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hari ini menjadikan IKBN terutamanya kursus fotografi sebagai pilihan para pelajar.

“Tiada sebarang syarat ketat dikenakan kepada pelajar-pelajar yang berminat untuk mengikuti kursus ini dan mereka hanya perlu memiliki sijil SPM.

Artikel Berkaitan:

“Ada beberapa pelajar yang meraih keputusan 8A dalam SPM tetapi memilih untuk menyambung pengajian di IKBN dalam fotografi kerana minat dan keinginan untuk menguasai bidang tersebut.” katanya kepada Sinar Bestari.

Berbicara lebih lanjut mengenai kursus tersebut, Mohd Hatim menjelaskan, disebabkan teknologi hari ini semakin pantas, IKBN tidak hanya memfokuskan subjek jurugambar semata-mata malah turut menawarkan silibus pengendalian dron sebagai ilmu tambahan.

Sambung beliau lagi, melihat kepada perkembangan teknologi yang menjadikan dron sebagai pilihan bagi membantu memudahkan pekerjaan dalam pertanian atau perladangan sedikit sebanyak mendorong kepada peluang kerjaya dalam bidang itu.

Ujarnya, walaupun pembelajaran tentang pengendalian dron dalam kursus ini tidak diajar sepenuhnya namun sebagai tenaga pengajar tetap memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman menerbangkan alat berkenaan.

Mengulas tentang sektor pekerjaan hari ini yang banyak memberhentikan pekerja, Muhammad Hakim memberitahu, pelajar-pelajar fotografi tidak seharusnya merasa bimbang dan terbeban dengan situasi tersebut.

Ini kerana mereka boleh menjana pendapatan sendiri atau pendapatan sampingan dengan menjadi jurugambar bebas (freelance) terutamanya ketika musim konvokesyen atau majlis kenduri kahwin.

Mengakhiri perbualan, Mohd Hatim menambah, mereka yang mendalami ilmu fotografi dapat membantu meningkatkan harga diri di samping perasaan puas apabila dapat melangkah keluar dari zon selesa.

Peluang kerjaya pelajar fotografi

1. Jurugambar kewartawanan

2. Jurugambar media

3. Jurugambar studio/majalah

4. Jurugambar bebas (freelance)

5. Pembantu jurugambar

6. Pereka grafik

7. Pereka laman sesawang

8. Usahawan (perniagaan sendiri dalam fotografi)

9. Juruteknik komputer

10. Pensyarah/tenaga pengajar bidang fotografi

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp