
Mahasiswa Sarawak luah rasa kecewa isu air di UMS
Tertekan dengan masalah air yang tidak berpenghujung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), seorang mahasiswa tampil meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan sistem pengurusan keperluan asas di kampus tersebut.
Wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2024/2025, Greg Marthius Anak Gawing berkata, sebagai anak Borneo, beliau percaya bahawa kedaulatan dan hak negeri Sabah perlu ditegakkan serta tidak diabaikan.
"Isu air bukan sekadar isu kecil, tetapi mencerminkan kegagalan sistem. Masalah bekalan air di kampus UMS bukan perkara baharu, ia sudah berulang kali berlaku, namun jawapannya sentiasa sama...tunggu, berjimat dan bersabar," katanya.
Greg mendakwa bahawa isu tersebut merupakan kegagalan struktur dan dasar kerajaan negeri melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
"Kami terpaksa bergantung kepada lori tangki air yang tidak menentu serta agihan air mineral yang terhad. Ini bukan penyelesaian sebenar, sebaliknya pengabaian tanggungjawab," tegas beliau.
Anak jati Sarawak itu turut menegaskan bahawa Sabah sepatutnya menikmati hak yang sama seperti negeri asalnya berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Apa gunanya MA63 jika isu asas seperti bekalan air masih bergantung kepada kerajaan Persekutuan? Sabah perlu mengawal sepenuhnya utiliti dan sumber air negeri sendiri," tegasnya.
Beliau turut mendesak supaya Sabah mempunyai dana pembangunan pendidikan tersendiri dan memperkasa agensi negeri tanpa perlu menunggu kelulusan Putrajaya.
"Kalau Sarawak boleh memiliki agensi tenaga dan sumber air sendiri, kenapa Sabah masih terlalu bergantung?" soalnya.
Menurut Greg, UMS bukan sekadar kampus, tetapi simbol intelektual dan masa depan Sabah.
"Namun realitinya, UMS seperti dianaktirikan, bekalan air sering tiada, kemudahan kurang diselenggara, keperluan asas terabai, sedangkan perindustrian diutamakan," ujarnya.
Beliau juga menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar tidak terus berdiam diri mengenai isu kebajikan pelajar yang terjejas akibat masalah air.
"Apa gunanya universiti gah dan moden jika pelajarnya mandi menggunakan air simpanan dalam baldi dan botol mineral ketika krisis? KPT perlu menyuarakan isu ini secara serius," katanya lagi.
Greg turut melahirkan kekecewaan terhadap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, kerana UMS terletak di kawasan parlimen beliau.
"Di mana suara Ahli Parlimen Sepanggar dalam isu ini? Kami menanti pembelaan tegas daripada wakil rakyat yang kami undi,” katanya.
Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan itu dibuat atas kapasiti peribadi sebagai mahasiswa dan MPP, dalam semangat kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
"Saya bukan menentang, tetapi menuntut penambahbaikan. Kepimpinan yang baik ialah yang sedia ditegur, bukan yang cepat terasa apabila rakyat bersuara," katanya.