Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Zeng Kang (dua dari kanan) sambil disaksikan Alternate Chair of ASEAN Business Advisory Council, Bernardino M Vega (kanan) serta pengasas GenYouth, Eldrick Koh (kiri) di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Zeng Kang (dua dari kanan) sambil disaksikan Alternate Chair of ASEAN Business Advisory Council, Bernardino M Vega (kanan) serta pengasas GenYouth, Eldrick Koh (kiri) di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Mahasiswa UUM rangkul Anugerah Rekod Pencapaian Belia di Jakarta

12 Sep 2023 02:58pm
A
A
A

Seorang mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) mengharumkan nama negara apabila menerima Anugerah Rekod Pencapaian Belia sempena ASEAN Future Generation Business Forum di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Pencapaian terbabit adalah pengiktirafan kepada Beh Zeng Kang, 27, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Hubungan Antarabangsa selepas beliau melakar sejarah sebagai The First Malaysian Winner of ASEAN Youth Eco Champion.

Menurutnya, pengiktirafan terbabit memberi makna besar kepadanya, keluarga dan rakan-rakan.

“Ia juga memotivasikan diri saya dalam memperjuangkan agenda pemerkasaan kelestarian alam bersama semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zeng Kang yang juga Setiausaha Pertubuhan Generasi Peduli Sampah Malaysia berkata, sepanjang penglibatannya sebagai aktivis alam, beliau telah menerima beberapa pencapaian.

“Antaranya muncul sebagai Ikon Belia Kelestarian Alam (2022) dan anugerah Tokoh Belia ASEAN (Alam Sekitar) kategori junior pada 2019,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Zeng Kang yang telah memberikan khidmat dan sokongan dalam membantu memelihara serta memulihara alam sekitar dalam memperjuangkan khazanah alam di Malaysia.

“Anugerah ini suatu pencapaian yang amat membanggakan dan telah mempamerkan perjalanannya yang memberi inspirasi kepada masyarakat global yang wajar dijadikan contoh oleh generasi muda,” katanya.

Menurutnya, Zeng Kang adalah individu yang dinamik mempunyai kemahiran komunikasi luar biasa yang berteraskan prinsip empati dan simpati.

Artikel Berkaitan:

“Kecemerlangannya dalam bidang akademik dilengkapkan dengan penglibatan aktifnya dalam aktiviti luar,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok