MALAM Apresiasi Puisi Nusantara 2025 merupakan inisiatif MSU untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan warganya. Kelihatan Junainah (dua dari kanan), Mohd Shukri (tiga dari kanan), Zaini (tiga dari kiri) serta Mohd Azam.
MALAM Apresiasi Puisi Nusantara 2025 merupakan inisiatif MSU untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan warganya. Kelihatan Junainah (dua dari kanan), Mohd Shukri (tiga dari kanan), Zaini (tiga dari kiri) serta Mohd Azam.

Malam Apresiasi Puisi Nusantara 2025

Kerjasama MSU dan DBP sempena bulan kebangsaan

22 Sep 2025 02:30pm

Bersempena sambutan bulan kebangsaan baru-baru ini, warga Management and Science University (MSU) telah melaksanakan program Malam Apresiasi Puisi Nusantara 2025 untuk menzahirkan rasa cinta dan menghargai seni budaya tempatan.

Ia bagi memperkasa penghayatan warga MSU termasuk pelajar antarabangsa akan kepentingan Bahasa Kebangsaan yang melambangkan identiti sesuatu bangsa atau negara serta penggunaannya dalam pelbagai bidang.

Program itu juga merupakan salah satu daripada pengisian sambutan MSU MyDay Celebration 2025 yang diadakan khusus untuk menghayati sambutan Hari Kemerdekaan ke-68.

Mengangkat tema 'Suara Kita, Cerita Nusantara', program yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya (SCD) MSU dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mempersembahkan kepelbagaian karya sastera dan ekspresi budaya dari Malaysia dan Nusantara seterusnya mengangkat martabat bahasa Melayu.

Hadir merasmikan program ini ialah Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Turut hadir ialah Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid; Pro Canselor MSU, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang; Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja DBP, Mohd Azam Juhairi; Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr Zurinah Hassan, pengurusan kanan universiti serta para pelajar.

Segmen deklamasi puisi khas melibatkan Zaini, Zurinah dan Kumika KuFaizul, kanak-kanak berusia sepuluh tahun yang terkenal kerana keupayaannya mendeklamasi 40 rangkap puisi pada usia empat tahun.

Turut terlibat segmen deklamasi puisi oleh pelajar antarabangsa MSU dari Pakistan, Uganda, Syria, Botswana, Brunei serta Indonesia. Manakala segmen staf menyaksikan Chen Jie, kakitangan yang berasal dari China mendeklamasikan puisi dalam bahasa ibundanya, kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Sharul Azwan Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Para penonton dihiburkan dengan persembahan trio Kopratasa yang terkenal dengan lagu-lagu puisi serta Haziq Rosebi dengan genre irama tradisional.

Penganjuran program ini memberi peluang warga MSU merealisasikan penghayatan Kemerdekaan dan Hari Malaysia seterusnya memantapkan lagi sikap patriotik dalam pembinaan modal insan negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp