Malaysia antara 3 teratas di Asia, 6 dunia dalam QS World University Rankings
Malaysia mempamerkan prestasi yang lebih cemerlang dalam Kedudukan Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) dengan kini berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia dan keenam di dunia.
Negara mencatatkan kadar peningkatan 22 peratus dalam kenaikan anak tangga berdasarkan data bebas yang diperoleh daripada prestasi 240 program di 25 universiti Malaysia.
Dalam program peringkat nasional, 84 universiti menunjukkan penambahbaikan manakala 38 lagi universiti berjaya disenaraikan buat kali pertama.
Menurut kenyataan akhbar QS pada Rabu, Taylor’s University merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia dengan kedudukan tertinggi iaitu menduduki tempat ke-19 untuk Pengurusan Hospitaliti dan Riadah sekali gus menjadikannya penyertaan ketiga terbaik Asia untuk subjek itu.
Ia adalah kali pertama program universiti itu berjaya muncul dalam carta, mencatatkan pencapaian dalam kelas 21-50.
Kursus lain yang mencatatkan pencapaian ketara adalah Sains Data dan Kecerdasan Buatan dalam kelas 51-70 dan Seni dan Reka Bentuk dalam kelas 51-100.
Kedua-dua kursus Perakaunan dan Kewangan, serta Seni Bina dan Alam Bina, berada dalam kelas 101–150, manakala kursus Ekonomi dan Ekonometrik, dan Sosiologi, berada dalam kelas 151-200.
Naib Canselor dan Presiden Universiti Taylor, Profesor Barry Winn berkata, pencapaian itu adalah bukti komitmen institusi tersebut terhadap kecemerlangan pengajaran dan komuniti pembelajaran yang ideal.
“Penyenaraian 17 mata pelajaran dalam carta menunjukkan kecemerlangan dalam tawaran akademik kami yang sangat luas dan mendalam.
“Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keupayaan kami untuk cemerlang dalam pelbagai bidang, tetapi juga mengetengahkan komitmen menyediakan pendidikan holistik pada peringkat tertinggi kepada para pelajar,” katanya.
Terdahulu, Taylor’s University bagi tahun ini telah memecah rekod dengan 17 subjek disenaraikan di peringkat global dan empat subjek dalam 100 teratas dunia.
Seterusnya, Universiti Malaya (UM) pula adalah institusi yang paling banyak mewakili negara dalam carta dengan 38 mata pelajarannya disenaraikan, 21 daripadanya berada dalam 100 teratas global.
Penyertaannya yang tertinggi adalah kursus Pengurusan Perpustakaan dan Maklumat, di tempat ke-28.
Universiti tertua di negara itu juga merangkul dua penyertaan subjek terbaik di Malaysia, dengan program Farmasinya meningkat 29 anak tangga ke tempat ke-72, dan program Ekonominya dalam 100 teratas iaitu pada tempat ke-93 kerana peningkatan dalam metrik penyelidikan, terutamanya Citations per Paper.
Mengaitkan pencapaiannya itu sebagai 'kerja keras dan ketabahan yang hebat', Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, seluruh warga kampus khususnya kumpulan bakat akademik dan penyelidikan serta tenaga kerja bukan akademik, telah berusaha untuk memenuhi keperluan universiti itu dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Beliau menyifatkan kedudukan itu sebagai pendorong yang akan memacu UM untuk melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan bagi menghadapi cabaran mendatang.
“Tidak ada masa untuk bersenang-lenang. Pencapaian ini akan memberi inspirasi kepada kami untuk bekerja lebih gigih demi kepentingan negara dan dunia,” katanya.
Selain itu, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menduduki tempat ke-20 menerusi subjek Kejuruteraan Petroleum, menjadikannya kedua terbaik di Asia, manakala program Kejuruteraan Mineral dan Perlombongan meningkat daripada tangga 49 kepada tangga 41 tahun ini.
Universiti itu kini berada di bawah dua subjek besar iaitu Kejuruteraan dan Teknologi serta Sains Semula Jadi selain mempunyai lapan mata pelajaran dalam kedudukan berbanding tahun lepas.
Dikatakan, peningkatan yang paling ketara adalah subjek Kejuruteraan dan Teknologi, yang melonjak 25 anak tangga daripada 200 pada 2023 kepada 175 pada 2024.
Menurut Naib Canselor UTP, Profesor Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, kursus Sains Semula Jadi merupakan peserta baharu dan pencapaian penting bagi universiti itu.
Menyifatkan pencapaian itu sebagai kemajuan yang ketara merentasi pelbagai bidang, beliau berkata, universiti tersebut teruja dengan kenaikannya dalam carta.
“Pengiktirafan ini membuktikan kekuatan kami dalam membuka jalan kepada kemajuan saintifik pada masa hadapan,” katanya sambil menambah bahawa carta itu menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi UTP dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia.
Bagi Universiti Putra Malaysia (UPM) pula, IPT ini berada pada kedudukan tangga ke-26 untuk mata pelajarannya sekali gus menunjukkan peningkatan paling signifikan di Malaysia.
Kadar peningkatan keseluruhannya adalah 42 peratus dan penyertaan tertingginya adalah kursus Sains Veterinar, yang naik enam kedudukan untuk menduduki tempat ke-40.
Sementara itu, kedudukan Management and Science University (MSU) meningkat daripada tangga ke-46 pada tahun lepas kepada tangga ke-29 untuk Pengurusan Hospitaliti dan Riadah.
Manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula kekal dalam tangga 50 teratas untuk Teologi, Ketuhanan dan Pengajian Agama serta Universiti UCSI menduduki tempat ke-42 untuk Seni Persembahan.
Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir gembira untuk mengekalkan tradisi kecemerlangannya yang sudah lama menguasai bidang muzik dan seni persembahan.
"Kami juga digalakkan untuk meningkatkan kedudukan mata pelajaran dalam Seni dan Reka Bentuk dengan lebih daripada 100 jawatan dalam tempoh dua tahun lepas," ujarnya dengan menambah universiti itu akan terus berusaha meningkatkan pengalaman pembelajaran, penyelidikan dan hasil siswazah untuk pelajarnya.
Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Kanan QS, Ben Sowter berkata, universiti yang mengalami kenaikan dalam carta menerima manfaat daripada pelaburan yang mampan selain menekankan kepentingan sokongan kerajaan.
“Sementara itu, pembangunan bersama industri penting untuk peningkatan prestasi dalam pekerjaan dan penyelidikan,” jelasnya.
Sumber: The Star