Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud (Kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim (Kanan) selepas selesai tandatangan MoU.
Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud (Kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim (Kanan) selepas selesai tandatangan MoU.

MMU dan KRU jalin kerjasama demi pembangunan Keusahawanan Digital dan Kandungan Kreatif

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
08 Feb 2023 04:06pm
A
A
A

Universiti Multimedia (MMU) dan Yayasan KRU telah menandatangani Memorundum Persefahaman (MoU) dalam usaha membangunkan bakat-bakat baharu bagi menghiasi industri keusahawanan digital dan kandungan kreatif.

MoU tersebut telah ditandatangani Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim di MMU Cyberjaya baru-baru ini.

Mazliham berkata, MMU telah jalin kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti serta mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.

Tambah beliau, kerjasama ini membolehkan mereka melaksanakan projek dan aktiviti bersama bagi mempertingkatkan kemahiran pelajar dan graduan menerusi program latihan yang telah direncanakan.

Ujarnya, rangka modul program ‘reskilling dan upskilling’ keusahawanan digital juga telah dibentuk untuk pelajar.

“Saya gembira kerana Yayasan KRU menjadi salah sebuah syarikat yang sudi bekerjasama dengan kami (MMU).

“MoU ini telah membuka jalan dan lebih banyak peluang buat pelajar MMU untuk menimba ilmu serta tingkatkan kemahiran mereka melalui latihan dan pekerjaan berkaitan industri ini.

“Peluang ini akan ditawarkan kepada semua pelajar MMU termasuk pelajar di Fakulti Perniagaan, Fakulti Multimedia Kreatif dan Fakulti Seni Sinematik,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Norman menjelaskan, kolaborasi ini telah membuka pintu peluang kepada kakitangan, pelajar dan alumni MMU untuk sama terlibat dalam bidang perniagaan yang berasaskan digital.

Beliau turut mengharapkan campur tangan bersama antara industri dan ahli akademik mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya kreatif bagi tujuan pembangunan ekonomi pada masa depan.

“Saya berharap dengan MoU ini, kami bersama MMU mampu berkolaborasi dengan baik dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang kreatif untuk kemajuan ekonomi negara,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok