MSU, USM perkasa kerjasama pintar
Management and Science University (MSU) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memperkasakan kerjasama pintar pendidikan, inovasi dan penyelidikan antara kedua institusi pengajian tinggi yang terjalin semenjak tahun 2012.
Pemeteraian MoU ini bertujuan menyediakan rangka kerja bagi memupuk dan meningkatkan perkongsian rentas disiplin antara MSU dan USM khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan santifik dan inovasi, kerjasama industri-akademik serta membabitkan pertukaran maklumat, latihan pakar, bakat dan pelajar yang bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) untuk masa depan yang mampan.
Kerjasama ini juga bakal memanfaatkan kepakaran serta kekuatan yang ada dalam kalangan kedua-dua universiti untuk saling mengukuhkan aspek pembangunan modal insan serta kualiti pembelajaran dan pembelajaran antara satu sama lain dalam jangka panjang.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed.
Turut hadir ialah Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr Habibah A Wahab serta pengurusan kanan kedua-dua institusi.