Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin (tiga dari kiri) berkenan mencemar duli melawat keluarga Allahyarham. Foto: Sumber Mohd Najmuddin
Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin (tiga dari kiri) berkenan mencemar duli melawat keluarga Allahyarham. Foto: Sumber Mohd Najmuddin

Naskhah al-Quran ditulis arwah Nurly Shahirah jadi tumpuan

12 Jun 2025 02:02pm

Naskhah al-Quran yang ditulis tangan oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman, 23, menjadi perhatian pengunjung yang hadir menziarahi keluarganya.

Allahyarhamah merupakan salah seorang daripada 15 mangsa yang terkorban dalam kemalangan tragis di Gerik, Perak pada Isnin lalu.

Memetik laporan media tempatan, ramai yang hadir ke kediaman keluarganya di Kampung Gong Pasir, Kerandang di Jertih pada Rabu, termasuk bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu iaitu Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut mengiringi baginda ialah Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra’.

Tengku Muhammad Ismail dan rombongan yang hadir meluangkan masa selama kira-kira 15 minit bersama keluarga Allahyarham dan turut meneliti dengan dekat naskhah al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan oleh Nurly Shahirah.

Rombongan diraja tiba di lokasi kira-kira jam 10.20 pagi dan disambut oleh bapa arwah, Azman Mohamad, 63 serta ahli keluarga yang lain.

Sementara itu, melalui perkongsian Facebook abang Allahyarham, Mohd Najmuddin Azman berkata, dia mengucapkan terima kasih di atas kunjungan rombongan daripada Kerabat Diraja berkenaan.

"Terima kasih Tuanku mencemar duli datang ke rumah. Tuanku tengok hasil tangan arwah menulis al-Quran di buku.

Artikel Berkaitan:

"Itu merupakan amalan arwah untuk menguatkan hafazan...cantik sangat-sangat tulisan arwah," katanya pada Rabu.

Jenazah pelajar jurusan Pendidikan Khas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, negeri itu.

Kematiannya turut menyebabkan semua ahli keluarga tidak sempat melihat Nurly Shahirah menjadi guru.

Terdahulu, kemalangan yang berlaku pada jam 1.15 pagi itu turut mengorbankan 14 pelajar UPSI yang lain, manakala tujuh cedera parah selepas bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di Kilometer (Km) 53, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, di Gerik, Perak.

Bas yang membawa 42 pelajar universiti itu dalam perjalanan dari Jertih dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbalik.

*WARTAWAN: NOR SYAZRINA MUHAMAD TAHIR

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp