Dari kiri Nuradila (perak) dan Eizz Abdul Salam (emas) sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.
Dari kiri Nuradila (perak) dan Eizz Abdul Salam (emas) sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.

Pelajar UTHM bawa pulang anugerah emas & perak sempena Hari Air Sedunia 2025! Rezeki tak pernah salah alamat

04 Aug 2025 10:30am

Dua pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih anugerah emas dan perak ketika berlangsungnya Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 yang diadakan di Kuantan, Pahang.

Pelajar Tahun Akhir, Eizz Abdul Salam Muhammad Munawar telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pembangunan Sektor Air - Anugerah Emas (kategori Ijazah Sarjana Muda) setelah mempertaruhkan kajiannya bertajuk Development of Intensity-Duration-Frequency (IDF) Curves Incorporating Climate Change Projections for Pintu Kawalan Tg Agas Station, Muar.

Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM750 beserta plak penghargaan.

Menurut penyelianya, Profesor Madya Ir Dr Siti Nazahiyah Rahmat, lengkung IDF dibangunkan bertujuan untuk menyediakan panduan teknikal bagi reka bentuk sistem saliran, perparitan dan infrastruktur hidraulik yang bersesuaian dengan corak hujan tempatan.

Tambah beliau, kajian itu memberi tumpuan kepada pengemaskinian lengkung IDF menggunakan unjuran iklim masa hadapan, sejajar dengan peningkatan kejadian hujan lebat melampau di rantau Asia Tenggara.

"Memandangkan topik ini amat signifikan dan tepat pada masanya, saya berharap lengkung IDF yang dikemas kini dapat digunakan secara langsung dalam dasar dan perancangan, termasuk penyemakan semula protokol reka bentuk sistem saliran, serta pelaksanaan zon penampan dan pengurusan banjir bandar yang lebih efisien, berpandukan pola hujan terkini.

"Langkah-langkah ini penting bagi memastikan infrastruktur masa hadapan lebih adaptif terhadap perubahan iklim, sekali gus membantu mengurangkan risiko bencana di kawasan bandar dan luar bandar," katanya.

Sementara itu, Nuradila Mohd Ahmad pula menerima Anugerah Perak bagi kategori yang sama melalui kajiannya yang bertajuk River Sedimentation Transport in Sungai Rompin Pahang yang menumpukan kepada simulasi proses pengangkutan dan pemendapan sedimen di Sungai Rompin, Pahang dengan menggunakan perisian HEC-RAS.

Artikel Berkaitan:

Kajian itu bertujuan membantu mengenal pasti kawasan berisiko tinggi terhadap masalah hakisan dan banjir.

Menurut penyelianya, Profesor Madya Ir Dr Mohd Adib Mohammad Razi, kajian itu memberi tumpuan kepada analisis mendalam terhadap ciri-ciri sedimen serta perubahan morfologi dasar sungai akibat aktiviti antropogenik seperti pembalakan, pertanian dan perbandaran yang tidak terkawal.

Beliau turut mencadangkan agar strategi mitigasi jangka pendek seperti kerja-kerja pengerukan (dredging) dan langkah jangka panjang seperti pembinaan zon penampan bervegetasi serta pemasangan fiber roll dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Pendekatan dua hala ini bukan sahaja membantu mengekang pemendapan sedimen secara berlebihan, malah dapat menstabilkan tebing sungai dan meningkatkan kualiti air secara berterusan.

"Kajian ini penting dalam menyokong usaha pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan untuk membangunkan pelan pengurusan sungai yang lebih mampan, serta memperkukuh sistem hidraulik dan perparitan di kawasan terjejas.

"Di samping itu, dapatan kajian juga boleh dijadikan rujukan teknikal bagi penyelidikan lanjutan berkaitan hakisan tebing sungai dan perubahan geomorfologi akibat perubahan iklim dan pembangunan pesat," tambah beliau.

Kejayaan seumpama itu bukan sahaja mencerminkan dedikasi dan kepakaran para pensyarah FKAAB dalam membimbing pelajar, malah turut mengukuhkan reputasi UTHM sebagai institusi yang melahirkan graduan cemerlang dalam bidang kejuruteraan air.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp