
Kit Binujar 4.0 raih Anugerah Emas di WICO
Inovasi pendidikan itu bantu murid alami masalah menulis
Sekumpulan murid dan guru Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) melakar sejarah tersendiri apabila inovasi pendidikan, Kit Binujar 4.0 yang dibangunkan mereka tiga tahun lalu mendapat Anugerah Emas di World Invention Creativity Olympics (WICO), Seoul, Korea Selatan Sabtu lalu.
Guru Pembimbing, Muhammad Shahrol Harun ketika dihubungi memaklumkan penyertaan kali pertama di pentas berprestij itu mengangkat inovasi pasukan mereka di persada dunia.
"Kami tidak jangka memperoleh Anugerah Emas ini kerana persaingan sengit dengan pelbagai inovasi lain dari pelbagai negara.
"Ia adalah satu pengiktirafan kepada kesungguhan dan komitmen yang diberikan murid serta ibu-bapa dalam menjayakan inovasi ini," katanya pada Isnin.
Ujar beliau, Kit Binujar 4.0 dibangunkan sejak tiga tahun lalu hasil daripada pengamatan kepada permasalahan yang dihadapi murid terutamanya kemahiran menulis bagi huruf berekor seperti seperti ‘g’, ‘j’, ‘y’, ‘p’ dan ‘q’.
"Idea ini tercetus apabila melihat ramai murid menghadapi kesukaran untuk menulis huruf berekor, jadi kami bangunkan Kit Binujar dengan beberapa peringkat sebelum ia diguna pakai di sekolah," katanya.
Jelas beliau, inisiatif itu membuahkan hasil apabila murid boleh menulis dengan baik dan kemas menggunakan inovasi berkenaan.
"Kami kemudiannya memperluaskan Kit Binujar secara digital selari dengan Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," jelasnya.
Selain Muhammad Shahrol yang juga Guru Digital KPM, turut serta guru, Asa'adatul Jannah Kamaruddin dalam penganjuran yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 Julai di Seoul National University of Education.
Penyertaan terdiri daripada tiga murid Darjah Enam iaitu Muhammad Ammar Ziqry Mohd Iskandar, Puteri Nur Shaheera Muhammad Rafique dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) penglihatan, Rania El Zara Shazan Kamarul Ariffin.
Turut serta, Hadif Sufyyan Mohd Hirman, Raja Auni Safiyya Raja Mohd Zulfadli dan Sumayyah Budi Mawardi masing-masing merupakan murid Darjah 5.
Muhammad Shahrol turut memuji keberanian muridnya mempersembahkan Kit Binujar kepada delegasi asing.
"Mereka sangat lancar menceritakan keistimewaan inovasi kami kepada delegasi asing termasuk juri.
"Ini merupakan langkah pertama untuk memperkukuh keyakinan mereka dalam kemahiran berkomunikasi," katanya.
WARTAWAN: TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN