Kehilangan Allahyarham bukan sahaja dirasai keluarga terdekat, malah turut meruntun hati mereka yang mengenalinya sebagai seorang anak yang baik, lemah lembut dan disenangi.
Kehilangan Allahyarham bukan sahaja dirasai keluarga terdekat, malah turut meruntun hati mereka yang mengenalinya sebagai seorang anak yang baik, lemah lembut dan disenangi.

Pemergian Anis Mahirah undang sebak! 'Terkejut dengar berita ini, rupa-rupanya arwah anak sahabat saya' - Bekas Menteri Besar Terengganu

16 Dec 2025 11:58am

Pemergian Anis Mahirah Ahmad Marzuki, 19, dalam satu kemalangan di kawasan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang, Kelantan, Sabtu lalu benar-benar mengejutkan ramai pihak dan meninggalkan kesan mendalam, khususnya kepada keluarga, rakan-rakan serta warga universiti.

Dalam usia yang masih muda, pelajar Semester Tiga Fakulti Pengurusan dan Perniagaan itu pergi buat selama-lamanya, meninggalkan ibu bapa tercinta dan insan-insan yang menyayanginya, sekali gus meninggalkan kenangan manis yang sukar dipadam.

Kehilangan Allahyarham bukan sahaja dirasai keluarga terdekat, malah turut meruntun hati mereka yang mengenalinya sebagai seorang anak yang baik, lemah lembut dan disenangi.

Tragedi menyayat hati itu turut menyentuh emosi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman, apabila mengetahui Allahyarham meninggal dunia akibat dilanggar sebuah motosikal.

Menerusi perkongsian di Facebook pada Isnin, beliau meluahkan rasa terkejut dan sebak apabila menerima perkhabaran tersebut, apatah lagi selepas mengetahui Allahyarham merupakan anak kepada sahabat lamanya.

"Apabila nama arwah disebut, hati saya terus teringat kepada seorang sahabat lama, Marzuki (anak Ustaz Ghani).

"Dalam hati saya cuba menafikan kemungkinan tersebut kerana rasanya dahulu pernah bertemu dan ketika itu arwah masih kecil.

"Beberapa minit kemudian, setelah membuka aplikasi WhatsApp, saya menerima pengesahan bahawa arwah pelajar benar-benar merupakan anak kepada sahabat saya, Marzuki. Innalillahi wa inna ilaihi raji‘un," tulis beliau.

Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani, telah menziarahi keluarga Allahyarham dan menyerahkan Sumbangan Tabung Kecemasan Pelajar kepada waris ketika kunjungan ke Jabatan Forensik, Hospital Daerah Machang baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Meer Zhar Farouk Amir Razli serta staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan sebagai tanda sokongan, kebersamaan dan keprihatinan institusi terhadap keluarga yang sedang diuji dengan kehilangan insan tersayang.

"Warga UiTM mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian yang amat berat ini," menurut perkongsian Facebook Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan pada Ahad.

Terdahulu, Allahyarham Anis Mahirah maut selepas dilanggar sebuah motosikal di kawasan kampus berkenaan, petang Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu daripada orang awam pada jam 6.40 petang dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada jam 6.20 petang ketika penunggang motosikal dari arah pintu utama universiti itu dalam perjalanan pulang ke asrama.

"Setibanya di lokasi kejadian, ketika motosikal sedang mendaki bukit, seorang pejalan kaki dipercayai telah melintas jalan secara mengejut yang menyebabkan penunggang motosikal mengelak ke kiri sebelum berlaku perlanggaran," katanya dalam satu kenyataan.

Ringkasan AI

  • Pemergian Anis Mahirah Ahmad Marzuki, 19, dalam kemalangan di UiTM Machang mengejutkan banyak pihak
  • Allahyarham meninggalkan ibu bapa dan kenangan manis
  • Kematian disebabkan dilanggar motosikal, meruntun hati ramai termasuk bekas Menteri Besar Terengganu
  • Rektor UiTM Cawangan Kelantan ziarah keluarga dan serahkan sumbangan
  • Kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal mengelak pejalan kaki yang melintas secara mengejut
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp