Mustapha Sakmud (dua dari kiri) meluangkan masa melawat ruang pameran pada Program Hari Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan, Terengganu dan Pahang Tahun 2024 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Mustapha Sakmud (dua dari kiri) meluangkan masa melawat ruang pameran pada Program Hari Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan, Terengganu dan Pahang Tahun 2024 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Penuntut IPT perlu ada kesedaran keselamatan kesihatan pekerjaan - KPT

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
23 Sep 2024 03:27pm

Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) disaran terus meningkatkan kesedaran kendiri mengenai isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara itu penting kerana sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan, mereka sepatutnya boleh terus mengaplikasikan pengetahuan yang ada bagi mengurangkan risiko kemalangan industri.

"Menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak 41,278 kemalangan berkaitan kerja direkodkan hingga Jun 2024. Sebanyak 52.1 peratus atau 21,503 kes yang dilaporkan adalah kemalangan industri manakala 19,770 kes berkaitan perjalanan ke tempat kerja.

"Oleh itu, kemalangan membabitkan dua perkara ini perlu diberikan kesedaran kepada pelajar kita. Sebab bila mereka bekerja nanti dua aspek ini perlu diambil serius supaya mereka dapat mencegah kemalangan industri berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Mustapha berkata, program itu ialah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia melalui agensi masing-masing dalam memberikan kesedaran awal kepada penuntut politeknik dan kolej komuniti.

Sementara itu, ditanya mengenai penglibatan komuniti pengajian tinggi dalam kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), beliau berkata setakat ini tiada laporan diterima pihaknya berkait perkara itu namun menegaskan KPT akan terus memantau rapat perkembangan kes berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp