Penuntut UTM selami budaya masyarakat 'di bawah bayu' menerusi BCV'24
Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memanfaatkan cuti semester mereka dengan menyelami budaya dan masyarakat Sabah menerusi program Borneo Cultural Voyage 2024 (BCV'24) yang diadakan selama lima hari membabitkan beberapa daerah di negeri ini.
Bertemakan Pendidikan dan Budaya Borneo: Merentasi Warisan, program ini bukan saja memberi pendedahan kepada penuntut universiti tetapi juga sebagai usaha mengukuhkan perpaduan dan pendidikan antara Sabah dan Semenanjung.
Penasihat program BCV‘24, Azizul Azman berkata, program berimpak tinggi itu bertujuan untuk memperkukuh integrasi nasional antara Semenanjung dan Sabah melalui pemahaman budaya yang mendalam serta memperkasa penglibatan sosial antara penuntut UTM dengan warga Sabah.
"BCV'24 menyajikan pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang bukan hanya mempromosikan pendidikan dan budaya, tetapi juga mengasah daya saing serta kemahiran kepimpinan pelajar.
"Program ini membawa peserta ke destinasi ikonik Sabah seperti Kolam Air Panas Poring, Taman Kinabalu dan Pantai Tanjung Aru di mana aktiviti berkenaan bukan sekadar rekreasi tetapi sebagai satu inisiatif strategik untuk menghayati keindahan dan kekayaan alam Sabah yang unik.
"Menerusi penjelajahan ini, peserta berpeluang menyelami warisan dan gaya hidup Sabah yang membezakannya dengan Semenanjung dan menjadikannya satu pengalaman yang benar-benar mengubah perspektif dan memperkaya pemahaman tentang gelaran 'di bawah bayu'," katanya selepas program tersebut berlangsung baru-baru ini.
Katanya lagi, program itu juga turut memberi tumpuan kepada perkongsian bersama pelajar sekolah sebagai pengisian dalam lawatan ke negeri ini.
"Program Belajar Satu Keperluan, Bukan Kehendak yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matupang Jaya, Ranau, berjaya menarik perhatian pelajar dengan penekanan pada pentingnya pendidikan tinggi.
"Sesi perkongsian inspirasi oleh pensyarah UTM, Dr Muhammad Syahir Sarkawi dan penuntut UTM, Christy See Jing Von mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran mendapat sambutan hangat.
"Ia sekali gus mendorong pelajar Tingkatan Empat untuk berfikir secara kritis tentang masa depan mereka," katanya.
Pertukaran kulinari
Selaras dengan tema berkaitan merentasi warisan, Azizul berkata, program ini turut mengadakan pertukaran kulinari dengan mempersembahkan makanan tradisi Johor, mi bandung dan nasi linopot yang terkenal di negeri ini.
"Program yang dinamakan 'Malam Seiring Purnama' bukan sekadar membawa pertukaran kulinari tetapi juga diselarikan dengan pertukaran budaya antara Johor dan Sabah melalui persembahan tarian zapin oleh UTM dan tarian sumazau serta zapin oleh penduduk kampung.
"Majlis ini bukan sahaja meriah dengan tarian, tetapi turut disemarakkan dengan hidangan istimewa hasil kerjasama kedua-dua belah pihak sekali gus mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan," katanya.
Tidak dilupakan, perkongsian antara universiti turut menjadi pengisian program menerusi kunjungan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).
"Melalui Simposium Wawasan Budaya yang diadakan di UMS, menjadi platform intelektual yang penting dalam membincangkan usaha mengekalkan institusi kebudayaan Sabah yang telah wujud berabad lamanya.
"Perbincangan ini menampilkan tokoh dari UMS sendiri yang berkongsi pandangan bernas mengenai cabaran dan strategi mempertahankan warisan budaya di era digital
"Program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan antara pelajar dan komuniti dari Johor dan Sabah, tetapi juga membangkitkan semangat patriotisme melalui perpaduan pendidikan dan budaya," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap BCV '24 menjadi landasan tahunan yang terus mempereratkan hubungan antara pelbagai etnik di Malaysia, mengangkat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan generasi muda melalui inisiatif pendidikan dan kebudayaan secara menyeluruh.