Shazlyn Milleana (gambar kiri) ketika mengikuti Forum Matematik dan Sains Komputer September lalu.
Shazlyn Milleana (gambar kiri) ketika mengikuti Forum Matematik dan Sains Komputer September lalu.

Penyelidik muda Malaysia dalam bidang Sains dan Matematik diiktiraf di persada dunia

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
18 Oct 2023 03:10pm
A
A
A

Seorang penyelidik muda negara ini iaitu TS Dr Shazlyn Milleana Shaharudin telah terpilih menyertai Forum Matematik dan Sains Komputer anjuran Heidelberg Laureate Forum Foundation (HLF) di Heidelberg, Jerman baru -baru ini.

Forum yang diadakan pada 23 hingga 29 September lalu merupakan program tahunan pihak HLF yang dibiayai penuh oleh Klaus Tschira Stiftung (KTS) iaitu sebuah badan organisasi yang tidak berasaskan keuntungan dalam menyokong penyelidikan berkaitan Matematik dan Sains Pengkomputeran.

Ketika dihubungi Sinar Bestari, Shazlyn Milleana yang merupakan pensyarah Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan penyelidik bersekutu di Columbia Water Center, Columbia University, New York, USA melahirkan rasa terkejut kerana diberi peluang mengikuti forum berkenaan.

“Sangat terkejut kerana terpilih di antara 200 penyelidik muda dari 61 negara di seluruh dunia.

“Sesungguhnya saya rasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh pihak luar di dalam kerja-kerja penyelidikan yang saya jalankan selama ini.

No Image Caption

“Saya berharap dengan pengiktirafan sebegini sedikit sebanyak dapat membantu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia sekali gus membantu negara untuk terus melangkah maju ke hadapan dalam bidang penyelidikan setanding dengan negara-negara maju yang lain,” ujarnya yang mendapat tajaan penuh daripada salah sebuah syarikat di Jerman yang bekerjasama dengan pihak HLF di bawah dana Skylab Grant dengan anggaran tajaan €2000 bersamaan RM 10,000 meliputi perjalanan, penginapan dan sara hidup sepanjang program berlangsung di Jerman.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Forum Matematik dan Sains Komputer berkenaan merupakan forum terbesar di Eropah bagi bidang Matematik dan Sains Komputer.

Ia mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang tersebut yang telah memenangi pelbagai anugerah berprestij seperti The Abel Prize, ACM A.M. Turing Award dan ACM Prize in Computing.

Sepanjang 10 tahun HLF diadakan, hanya dua orang penyelidik muda dari Malaysia telah terpilih untuk menyertai program tersebut iaitu Shazlyn Milleana dan Profesor Madya Dr Fatimah Abdul Razak dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2017).

Program ini merupakan satu program sangat bermanfaat kerana pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti ceramah, penglibatan sosial, bimbingan rapat dan rangkaian kerjasama antara pakar-pakar dalam bidang masing-masing bersama penyelidik muda yang telah dipilih oleh pihak HLF.

No Image Caption

Antara perkara yang diketengahkan di forum berkenaan adalah peluang kerjaya penyelidik muda dalam bidang Matematik dan Sains Komputer di era globalisasi ini.

Menerusi forum tersebut, ia secara tidak langsung telah dapat membuka mata kepada penyelidik muda dalam memperkembangkan kerjaya mereka untuk pergi ke peringkat yang lebih jauh dan mencari peluang yang bukan sahaja di negara sendiri bahkan di seluruh dunia.

No Image Caption

Dengan menyertai program ini juga, penyelidik muda dapat meluaskan rangkaian kerjasama bersama penyelidik lain di seluruh dunia dalam merentasi bidang kepakaran masing-masing bagi kerjasama yang akan dijalinkan pada masa akan datang.

Kepada yang berminat untuk menyertai program ini, permohonan bagi penyelidik muda akan dibuka awal November setiap tahun dan maklumat lanjut boleh dilayari menerusi laman sesawang https://www.hlf-foundation.org/.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok