Kebantutan adalah isu global yang memberi kesan kepada berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Kebantutan adalah isu global yang memberi kesan kepada berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Penyelidik UPSI bangunkan Polisi Pendidikan Pemakanan bantu masalah bantut kanak-kanak di Malaysia

DR INTAN FARAHANA ABDUL RANI
20 Nov 2023 04:26pm
A
A
A

Data terkini daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan terdapat peningkatan prevalen bantut melibatkan kanak-kanak di bawah usia lima tahun sebanyak 4.1 peratus daripada 17.7 peratus (2015) ke 21.8 peratus (2019).

Data dari NHMS ini juga menunjukkan bahawa prevalen kebantutan adalah lebih tinggi di kawasan luar bandar (24.7 peratus) berbanding kawasan bandar (16.8 peratus).

Kebantutan juga lebih biasa dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan kelaziman 28.6 peratus dalam kalangan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.

Bagaimanapun, halangan pelaksanaan Pendidikan Pemakanan dalam kurikulum arus perdana di peringkat sekolah boleh diselesaikan dengan menyediakan peluang latihan kepada pendidik dan sumber Pendidikan Pemakanan yang mencukupi untuk penyampaian praktikal, merangka polisi dasar negara yang khusus serta melibatkan pihak ibu bapa, pendidik termasuk pihak yang menyediakan makanan di sekolah.

Oleh itu, kajian membangunkan Polisi Pendidikan Pemakanan penting untuk melihat semula prestasi dan relevansi dalam konteks tren pemakanan kanak-kanak yang makin merosot. Polisi ini diharapkan dapat menjadi panduan utama dalam usaha kerajaan menyediakan persekitaran pemakanan berkualiti dan mampu kepada rakyatnya.

Dalam kajian membangunkan polisi yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini, Pendidikan Pemakanan perlu fokus lebih tajam bagi menentukan bagaimana ia boleh menjadi tunjang dalam dasar Pendidikan Pemakanan khususnya untuk kanak-kanak pada masa akan datang.

Kebantutan adalah isu global yang memberi kesan kepada berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Malnutrisi (masalah kekurangan, berlebihan atau ketidakseimbangan nutrisi atau kandungan kalori seseorang) termasuk pengambilan nutrien penting yang tidak mencukupi, merupakan faktor penyumbang utama kepada kebantutan kanak-kanak di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Kebantutan bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan fizikal, tetapi juga mempunyai akibat jangka masa panjang ke atas perkembangan kognitif, pencapaian akademik dan produktiviti ekonomi.

Dr Intan Farahana
Dr Intan Farahana

Beri perhatian sewajarnya

Masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia merupakan salah satu masalah malnutrisi yang perlu diberi perhatian sewajarnya dan perlu ditangani segera.

Pemakanan merupakan salah satu aspek penting dalam mengekalkan tahap kesihatan manusia.

Amalan pemakanan sihat ialah dengan melibatkan pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, tetapi mengikut keperluan individu.

Hal ini kerana tidak ada satu makanan yang dapat menyediakan semua jenis nutrien yang diperlukan bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

Pemakanan seimbang perlu merangkumi semua jenis makanan yang diperlukan untuk kesihatan tubuh.

Makanan dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan utama mengikut fungsinya yang tersendiri iaitu makanan yang membekalkan tenaga, makanan untuk proses pertumbuhan serta makanan bagi menjauhkan dari serangan penyakit.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyarankan pengambilan pelbagai jenis makanan beserta sukatan yang perlu bagi setiap jenis makanan tersebut dalam bentuk carta Piramid Makanan Malaysia 2020.

Maka, pemerolehan pengetahuan pemakanan pada peringkat awal kanak-kanak adalah sangat penting kerana akan mempengaruhi pembentukan sikap dan tabiat pemakanan kanak-kanak yang berkemungkinan kekal sehingga dewasa.

Penerapan pengetahuan pemakanan dengan cara yang menyeronokkan mampu membantu kanak-kanak menyemai tabiat pemakanan yang sihat dalam sajian harian.

Dalam usaha merancang dasar polisi Pendidikan Pemakanan di rumah, beberapa aspek utama wajar diberikan perhatian.

Pertama, melibatkan elemen di rumah dengan bantuan ibu bapa sebagai agen pemudah cara melibatkan penglibatan, interaksi dan juga perkongsian menu makanan keluarga.

Antara strategi yang boleh dilaksanakan oleh ibu bapa adalah melalui pelaksanaan aktiviti Pendidikan Pemakanan bersama dengan kanak-kanak di rumah.

Hal ini kerana aktiviti Pendidikan Pemakanan ialah strategi yang dapat meningkatkan pengetahuan kanak-kanak terhadap konsep pemakanan sihat mengikut keperluan tubuh badan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang terlibat dengan Pendidikan Pemakanan di rumah dapat membuat pilihan makanan yang tepat dengan mengambil makanan yang lebih sihat serta mengurangkan pengambilan snek yang tidak sihat.

Penekanan terhadap pengambilan makanan perlu bermula dari rumah kerana terdapat bukti yang kukuh daripada ramai pengkaji bahawa penglibatan ibu bapa di rumah menghasilkan peningkatan dalam pengambilan makanan yang tidak disukai sebelum ini.

Bagaimanapun, ibu bapa masih mengalami cabaran untuk menyediakan hidangan makanan kepada kanak-kanak di rumah walaupun pelbagai strategi telah digunakan.

Tambahan pula terdapat kanak-kanak yang menolak makanan sihat kerana faktor peningkatan neofobia makanan yang memuncak antara usia dua dan enam tahun.

Oleh itu, strategi menggunakan Pendidikan Pemakanan menyediakan peluang kepada ibu bapa untuk membantu meningkatkan pengetahuan kanak-kanak tentang kepentingan pengambilan makanan berkhasiat dan seterusnya membawa kepada perubahan sikap dan tingkah laku pemakanan kanak-kanak.

Kedua, adalah tentang kesedaran pemakanan seimbang oleh ibu bapa. Penting bagi ibu bapa untuk mengambil berat tentang makanan sihat untuk kanak-kanak.

Hal ini kerana ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk pilihan makanan kanak-kanak dengan beberapa cara iaitu menyediakan persekitaran makanan yang positif dan dengan itu memilih menyediakan makanan yang sihat untuk anak mereka; memainkan peranan sebagai model peranan atau role model untuk anak masing-masing dan berinteraksi dengan anak mereka dengan memberikan galakan bertujuan memupuk tingkah laku pemakanan yang positif, khususnya dalam menangani penolakan terhadap makanan seimbang.

Selain menjadi role model, ibu bapa menggunakan tingkah laku yang sesuai dengan kanak-kanak untuk memodelkan pemakanan yang sihat melalui penyediaan makanan dan amalan pemakanan ketika waktu makan.

Selain itu, dengan menggunakan waktu makan untuk menunjukkan tingkah laku yang sesuai dengan kanak-kanak dapat membantu mereka belajar tentang pengambilan makanan yang sihat dengan bermakna.

Ibu bapa juga dapat menyokong pemerolehan pengetahuan kanak-kanak dengan menggunakan buku kerja kanak-kanak, merancang aktiviti memasak bersama, memberi galakan serta pujian yang berkesan dan memodelkan tingkah laku yang sesuai.

Ketiga, adalah ibu bapa diberikan pendedahan berkaitan risiko atau kesan malnutrisi terhadap perkembangan kanak-kanak.

Kekurangan atau lebihan zat makanan

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2019, gejala malnutrisi merupakan kekurangan atau lebihan zat makanan disamping kekurangan mikronutrien.

Hal ini menjustifikasikan bahawa amalan pemakanan kanak-kanak yang sihat adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak baik dari segi fizikal mahupun mental.

Dalam konteks negara Malaysia, sesetengah kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan manakala sesetengah yang lain mengalami obesiti.

Ibu bapa perlu diberikan kesedaran tentang amalan pemakanan yang sihat. Hal ini kerana pemakanan sihat juga dikaitkan dengan perkembangan kognitif seseorang. Pengambilan nutrien makro seperti karbohidrat, lemak, protein serta mikro iaitu vitamin dan mineral yang mencukupi penting untuk pertumbuhan otak dan kognitif, terutamanya semasa peringkat awal kanak-kanak.

Kajian yang dilaksanakan oleh South East Asian Nutrition Surveys (SEANUTS) melibatkan kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun di Malaysia mendapati bahawa kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti mempunyai corak pemakanan yang mengandungi kepadatan tenaga yang tinggi tetapi tidak cukup mikronutrien seperti zat besi, sodium, zink dan vitamin B12 yang mempunyai peranan penting dalam perkembangan kognitif.

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik ini mendapati bahawa kanak-kanak Malaysia berusia antara lima hingga 12 tahun yang mengalami obesiti menunjukkan kecenderungan mempunyai dua kali ganda kelemahan prestasi kognitif berbanding kanak-kanak tanpa masalah tersebut.

No Image Caption

Oleh itu, sekiranya ibu bapa memperoleh kesedaran awal tentang risiko sekiranya kanak-kanak tidak mendapat nutrien yang mencukupi mengikut piramid makanan, maka semua pihak bukan sahaja kerajaan dapat menggembleng tenaga dan usaha bagi membanteras gejala malnutrisi yang kian merosot dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Sehubungan itu, dalam kajian ini, penekanan diberikan kepada penyepaduan kesemua elemen bagi susunan langkah atau aktiviti yang dapat dilaksanakan dalam persekitaran di rumah.

Dengan memperhatikan kesemua aspek ini, polisi Pendidikan Pemakanan yang disediakan akan dapat menyediakan Pendidikan Pemakanan yang lebih inklusif, berkesan dan berfaedah kepada seluruh kanak-kanak di Malaysia.

Kesimpulannya, kajian yang dijelaskan ini bertujuan untuk mengatasi beberapa jurang sedia ada dengan meneliti strategi menggunakan Pendidikan Pemakanan di rumah sama ada dapat meningkatkan pengetahuan serta sikap penerimaan kanak-kanak terhadap pengambilan makanan sihat atau sebaliknya.

Maklumat Penulis

Penyelidik Pusat Penyelidikan Pedagogi & Inovasi (CPRI), UPSI, Dr Intan Farahana Abdul Rani

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok