kredit foto: Pexels
kredit foto: Pexels

Permohonan Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong kini dibuka

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
04 Feb 2023 09:10pm
A
A
A

Rata-rata pelajar pasti mengimpikan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Selain berpeluang menikmati suasana persekitaran pembelajaran di tempat baharu, ia juga membuka peluang kepada pelajar untuk terokai keunikan adat, budaya dan sejarah tempat itu.

Namun ramai dalam kalangan pelajar terpaksa melupakan hasrat dan impian mereka kerana pelbagai halangan terutamanya dari segi kewangan.

Bagi membantu pelajar merealisasikan impian mereka dan mengatasi halangan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini mempelawa semua warganegara Malaysia untuk memohon Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPA, biasiswa itu terbuka kepada semua pelajar Malaysia yang berkelayakan dan ingin menyambung pengajian di peringkat Sarjana (Penyelidikan) atau Doktor Falsafah (Ph.D) di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan atau luar negara.

Dijelaskan syarat permohonan BYDPA Tahun 2023 mestilah warganegara Malaysia dan usia tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2023.

Tarikh permohonan telah dibuka pada 30 Januari lalu hingga 3 Mac ini.

Selain itu, JPA menyatakan setiap pemohon perlu mempunyai keputusan akademik yang cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama.

Artikel Berkaitan:

Untuk itu, Sinar Bestari akan kongsikan tawaran bidang serta syarat penuh BYDPA kepada pembaca dan pelajar yang mungkin berminat untuk memohon.

kredit foto: portal rasmi JPA
kredit foto: portal rasmi JPA



**

Biasiswa ini menawarkan empat bidang pengajian iaitu Sains dan Teknologi; Ekonomi; Undang-undang dan Kewangan Islam.

Permohonan dibuka pada 30 Januari lalu hingga 3 Mac 2023.

Syarat Permohonan

1) Pemohon haruslah warganegara Malaysia yang berusia tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2023.

2) Pemohon harus mempunyai keputusan akademik yang cemerlang di peringkat pengajian berikut

- Ijazah sarjana muda yang diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 (kelas pertama) atau yang setaraf dengannya bagi calon sarjana atau

- Ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 (kelas pertama) atau yang setaraf dengannya bagi calon PhD

3) Pemohon telah mendapat tawaran syarat bagi pengajian sepenuh masa pada tahun 2023 di IPT yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian atau

- Telah memulakan pengajian sepenuh masa di IPT yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

4) Pengajian bagi peringkat sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan, disertasi atau tesis.

5) Terlibat dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya iaitu

- Calon sarjana: Penglibatan calon secara aktif adalah satu kelebihan; atau

- Calon PhD: Penglibatan calon adalah wajib.

6) Keutamaan akan diberikan kepada calon yang mempunyai penglibatan aktif dalam kegiatan ko-kurikulum juga aktiviti kemasyarakatan.

Kepada yang berminat untuk memohon boleh menghantar borang permohonan lengkap serta dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan sama ada secara serahan tangan atau pos kepada pihak JPA sebelum atau pada 10 Mac 2023.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman rasmi JPA di esilav2.jpa.gov.my.

Selamat maju jaya!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok