PUO menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik bersama 18 agensi dan pihak industri bagi perkongsian dua hala dalam aspek kepakaran dan penyediaan latihan.
PUO menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik bersama 18 agensi dan pihak industri bagi perkongsian dua hala dalam aspek kepakaran dan penyediaan latihan.

Politeknik Ungku Omar terima Anugerah Platinum APACC! Ini reaksi Pengarahnya

ROSHLAWATY MD RAIEH
28 Jul 2023 09:24am
A
A
A

Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila dinobat penerima Anugerah Platinum daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

Menurut Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah, Anugerah Platinum yang diterima itu merupakan pengiktirafan tertinggi di peringkat Asia Pasifik berdasarkan kualiti pengurusan serta penyampaian pengajaran dan pembelajaran.

"PUO memperoleh 100 peratus dalam nilai pemarkahan iaitu tadbir urus dan pengurusan; pengajaran dan pembelajaran; imej dan kelestarian serta khidmat sokongan pelajar.

“Kejayaan yang dicapai ini membuktikan TVET PUO sudah mencapai penanda aras yang bagus dalam meningkatkan kualiti pendidikan TVET antarabangsa dan berstandard dunia,” ujarnya.

Shamsuri
Shamsuri

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Media, Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri dan Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik di Dewan Jubli PUO pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Trans Resources Corporation Sdn Bhd yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Industri, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Tan Sri Sufri Mohd Zin.

Shamsuri berkata, sebelum ini PUO pernah terpilih menerima Anugerah Emas daripada APACC yang dijadikan sebagai penanda aras terhadap kecemerlangan institusi aliran TVET.

Artikel Berkaitan:

Selain PUO, beberapa politeknik lain turut meraih anugerah yang sama iaitu Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, Johor; Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang; Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, Perak.

Seterusnya, Politeknik Kota Bharu (PKB), Ketereh, Kelantan; Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah; Politeknik Seberang Perai (PSP), Permatang Pauh, Pulau Pinang; Politeknik Kuching Sarawak (PKS), Sarawak dan Politeknik Port Dickson (PPD), Negeri Sembilan.

Sementara itu, Shamsuri memberitahu, PUO akan berusaha mengekalkan pengiktirafan itu dengan cara memperluaskan penawaran program sarjana muda, menambah baik kemudahan fasiliti dan meningkatkan kemahiran pensyarah menerusi latihan semula dalam bidang TVET aras tinggi.

"Setakat ini PUO menawarkan dua program sarjana muda pembelajaran berasaskan kerja iaitu teknologi kejuruteraan pembuatan dan teknologi kejuruteraan awam.

“Insya-ALLAH, PUO turut berusaha untuk menambah empat lagi program dalam bidang seni bina, kejuruteraan perkapalan, elektrik elektronik dan perakaunan bagi menarik minat pelajar menyambung pengajian di politeknik ini,” ujarnya.

APACC adalah badan akreditasi di bawah Colombo Plan Staff College (CPSC) yang dianggotai 17 negara rantau Asia Pasifik iaitu Afghanistan, Bangladesh, Fiji, India, Indonesia, Iran, Japan, Malaysia, Korea, Maldives, Mongolia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina dan Sri Lanka.

Dalam pada itu, beliau berkata, buat julung kalinya, PUO menerima 94 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program Asasi TVET mulai Julai lalu.

Menurutnya, program itu menyediakan laluan untuk pelajar mengikuti program ijazah dalam bidang telnologi kejuteraan di empat buah universiti dalam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

"Di bawah program ini, pelajar akan mengikuti pengajian selama dua semester di PUO sebelum melanjutkan pengajian ke universiti MTUN," katanya.

PUO yang telah berusia 54 tahun kini mempunyai 467 pensyarah dan 142 kakitangan dengan jumlah pelajar semasa berada di kampur 4,402 orang manakala 1,214 pelajar lagi menjalani latihan industri.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok