Gambar hiasan
Gambar hiasan

Profesor wanita Melayu pertama, Fatimah Hamid Don meninggal dunia

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
27 Apr 2023 11:25am
A
A
A

Profesor wanita Melayu pertama, Puan Sri Profesor Dr Fatimah Hamid Don meninggal dunia pada usia 89 tahun awal pagi Rabu.

Anak Allahyarham, Dr Fawziah Tan Sri Ishak berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 2.35 pagi ketika dalam fasa pemulihan selepas mengalami strok sejak setahun lepas di Hospital KPJ Tawakal.

“Kami terkejut kerana masa raya pertama ibu saya beritahu beliau dapat jalan enam langkah dan sangat positif untuk pulih daripada strok. Beliau merupakan role model saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, jenazah Allahyarham disembahyangkan di masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya selepas solat zohor.

Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan dan dua cucu perempuan.

Pada masa sama, cucunya Dr Dima Marlina Mohd Rafi menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pemergian Allahyarham bukan sahaja sebagai seorang ibu dan nenek tetapi juga sebagai tokoh pendidikan negara serta pemerkasaan wanita.

Antara pencapaian Allahyarham ialah menjadi wanita Melayu pertama memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan di Universiti California, Amerika Syarikat dan dianugerahkan Pingat Fatimah sempena Hari Wanita pada 1988.

Allahyarham juga telah berkhidmat dalam bidang pendidikan sejak 1956 dan menjawat pelbagai jawatan tinggi termasuk sebagai pegawai pelajaran, guru serta pensyarah maktab.

Artikel Berkaitan:

Fatimah bersara sebagai profesor pada 1990 setelah berkhidmat 26 tahun di Universiti Malaya. - Bernama

Info

- Allahyarham memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada 1972 di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).

- Dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum yang juga Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan sekali gus menjadi wanita Melayu pertama yang dilantik menjadi profesor.

- Allahyarham telah menulis dan mengeluarkan lebih 250 kertas kerja untuk majalah dan sebaran am.

- Terbabit menghasilkan draf Dasar Wanita Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dan laporan persidangan wanita sedunia PBB serta laporan Convention on the Right of the Child (CRC) dan Convention on the Elimination of All Forums of Discrimination Against Women (CEDAW).

- Dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran termasuk Darjah Setia Diraja Kedah (1989), Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia dengan gelaran Srikandi (1988).

- Allahyarham diberi pengiktirafan Pi Lambda Theta (daripada Alpha Delta, University of California, Los Angeles, 1971), Citizen of the Age of Enlightenment Award (World government of the Age of Enlightenment-Maharishi European Research University, 1976).

- Selain itu, Allahyarham juga menerima Honorary Fellowship of the International Understanding Honor Society, Ohio University, Athens (1985) dan menjadi ahli seumur hidup International Council on Education for Teaching, Washington DC, Amerika Syarikat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok