Bau busuk rupa-rupanya milik mayat guru wanita
Seorang lelaki berusia 30 tahun mendedahkan terhidu bau busuk ketika pergi ke sebuah rumah sewa di Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin.
Kehadiran Mohd Asyraf Bakri yang juga pemilik rumah itu, adalah untuk meminta duit sewa bulanan selepas cubaan menghubungi penyewa (guru wanita) sejak lebih seminggu lalu, gagal.
Kata Mohd Asyraf, dia terhidu bau yang kurang menyenangkan itu ketika membuka salah sebuah tingkap di rumah tersebut.
Dia mengesyaki kejadian buruk telah menimpa mangsa dan segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia dalam rumah sewanya di Kampung Pengadang Baru.
Difahamkan, mangsa yang berusia 50-an ditemukan oleh pemilik rumah (Mohd Asyraf) dalam keadaan berbaring di tepi dinding pada jam 5.30 petang, Isnin.
Dikatakan juga, mangsa merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah dan telah menyewa seorang diri sejak 13 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 5.45 petang, pada Isnin.
Kata beliau, mereka menemui mayat seorang wanita di dalam rumah yang dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia.
"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
"Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut," kata Abdul Rahim.