Barisan peserta Project LINK: Let’s Ignite Nusantara Kita ketika kunjungan mereka ke Asean Sectrariat Office baru-baru ini.
Barisan peserta Project LINK: Let’s Ignite Nusantara Kita ketika kunjungan mereka ke Asean Sectrariat Office baru-baru ini.

Project LINK medan transformasi pertukaran budaya, akademik & pengukuhan hubungan 2 hala

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 Jan 2025 01:05pm

Program pertukaran budaya sering menjadi keutamaan dalam kalangan mahasiswa kerana ia menawarkan pelbagai manfaat yang signifikan dalam aspek peribadi, akademik dan sosial.

Project LINK: Let’s Ignite Nusantara Kita ke Jakarta, Indonesia misalnya, dilihat berjaya mencapai misi akademik dan budaya mereka menerusi inisiatif penganjuran program itu.

Projek yang berlangsung 12 hingga 15 Januari, disertai 35 pelajar semester akhir dan empat pensyarah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Perhubungan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM), menjadi medan transformasi bagi pertukaran budaya, akademik dan pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, ia turut memberi peluang kepada pelajar untuk memperluas pengetahuan dalam bidang perhubungan awam dan diplomasi serantau.

Menurut kenyataan media UiTM yang diemel kepada Sinar Bestari, pelbagai aktiviti menarik disertai para peserta sepanjang empat hari di Jakarta, Indonesia.

Penghargaan dari wakil Project LINK: Let’s Ignite Nusantara Kita kepada Asean Sectrariat Office.
Penghargaan dari wakil Project LINK: Let’s Ignite Nusantara Kita kepada Asean Sectrariat Office.

Antara destinasi pilihan mereka adalah Muzium Nasional Indonesia, lawatan akademik ke London School of Public Relations (LSPR) dan sesi dialog di Universitas Bakrie.

"Peserta juga berpeluang bertemu dengan diplomat di Kedutaan Besar Malaysia dan Pejabat Sekretariat ASEAN, di mana mereka mendapat pendedahan langsung mengenai diplomasi dan peranan Malaysia dalam ASEAN pada tahun 2025.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mereka dapat mendalami strategi komunikasi serantau selaras dengan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN nanti," maklum kenyataan itu.

Kesimpulannya, penganjuran Project LINK: Let’s Ignite Nusantara Kita menggambarkan komitmen UiTM dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berkemahiran global seiring dengan peranannya sebagai institusi terkemuka dalam komunikasi dan media di Malaysia.

Projek itu bukan sekadar pertukaran budaya sahaja tetapi juga asas kukuh untuk memperkasakan hubungan Malaysia dan Indonesia serta aspirasi bersama dalam membina masa depan Nusantara.

APA KATA MEREKA

1) "Melalui program ini, diharapkan hubungan Malaysia dan Indonesia dapat dirapatkan lagi kerana hubungan rakyat atau people-to-people contact adalah salah satu elemen penting dalam setiap hubungan dua hala. Program sebegini perlu diteruskan dengan merebut setiap peluang yang ada, bagi mengelakkan sebarang salah faham dan sebagainya." - Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, TYT Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin

2) "Merealisasikan Project LINK: Let’s Ignite Nusantara Kita bukanlah satu tugas mudah dan peserta telah menunjukkan contoh kepimpinan pelajar serta kerjasama luar biasa. Saya benar-benar berharap program ini dapat menjadi salah satu pengalaman indah untuk semua pelajar yang terlibat." - Ketua Program, Nurul Batrisya Zailani

3) "Program ini sebagai jambatan untuk memahami perbezaan antara dua budaya." - Ketua Pusat Komunikasi Strategik UiTM, Dr Wan Norbani Wan Noordin

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp