Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Pusat Islam UUM peka mengenai kebajikan dan kesihatan mahasiswa

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
22 Feb 2023 05:57pm
A
A
A

Program kupon makanan yang disediakan oleh institut pengajian tinggi (IPT) kepada mahasiswa menunjukkan mereka prihatin dengan soal kebajikan dan juga kesihatan para pelajar ini.

Ia berkepentingan dalam membantu kumpulan mahasiswa yang memiliki masalah dari segi kewangan terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan B40.

Pelaksanaan program tersebut juga merupakan keperluan demi memberikan akses kepada makanan yang lebih sihat dan cukup zat untuk mahasiswa yang terlibat sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka ketika menuntut ilmu di menara gading.

Atas sebab itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Islam UUM telah mengadakan program kupon makanan dan minuman percuma kepada mahasiswa di kampus mereka.,

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.



Timbalan Naib Canselornya (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihaknya tetap membangunkan inisiatif itu walaupun di kampus mereka telah diperkenalkan dengan Menu Rahmah yang bernilai antara RM4 hingga RM5.

Jelas Ahmad Martadha, pelaksanaan program itu adalah hasil daripada sumbangan staf-staf di kampus, persatuan-persatuan alumni dan juga orang ramai.

Katanya lagi, pelajar yang memerlukan bantuan makanan dan minuman boleh mendapatkan kupon tersebut di Pusat Islam universiti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah perkenalkan Menu Rahmah di sini (UUM), kami tetap merasakan pemberian kupon ini adalah satu keperluan.

“Kedua-dua inisiatif ini dilaksanakan tepat pada masanya untuk membantu mahasiswa yang memerlukan tambahan lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu Eksekutif Pembangunan Sahsiah dan Moral, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Muhammad Danial Azrin berkata, pihaknya bersyukur dengan bantuan yang diberikan pengurusan tertinggi dan sumbangan daripada orang ramai itu.

Jelas Muhammad Danial, kerjasama dari Pusat Islam dan semua pengusaha kafe di sekitar kawasan kampus juga amat dihargai atas kesudian mereka dalam membantu meringankan beban mahasiswa UUM.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi UUM kerana sentiasa prihatin dengan kebajikan mahasiswa dan pihak-pihak lain yang turut bekerjasama dalam menjayakan program kupon makanan ini.

“Selain itu kami juga menghargai usaha Pusat Islam dan semua pengusaha kafe di kampus UUM ini dalam menyediakan Menu Rahmah yang sangat memberi kesan positif kepada mereka yang memerlukan.

“Kami yakin dengan adanya dua inisiatif ini pastinya dapat membantu mahasiswa B40 dan mereka yang mempunyai masalah kewangan juga boleh menarik nafas lega dengan pakej-pakej yang disediakan ini,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok