Putra Tuition B40 bantu murid sekolah serendah RM5 satu subjek

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
02 Mar 2023 02:24pm

Seperti yang diketahui penguasaan dalam bidang pendidikan serta ilmu pengetahuan amat penting untuk memastikan generasi akan datang mampu menjadi tunjang dalam pembangunan negara.

Ia juga merupakan hak semua individu tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan kumpulan pendapatan.

No Image Caption

Melihat kepada kepentingan berkenaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program Putra Tuition B40 yang mensasarkan penglibatan murid sekolah rendah di sekitar kawasan berhampiran universiti.

Program tersebut merupakan anjuran Sekretariat Keusahawanan, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), sesi akademik 2022/2023 yang bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan pendidikan kepada anak-anak dengan kos pembiayaan tuisyen yang rendah dan berpatutan.

Ini kerana Putra Tuition B40 menawarkan bayaran serendah RM5 bagi setiap mata pelajaran selain turut membantu pelajar KMB yang ditugaskan sebagai pengajar untuk menjana wang saku serta mengasah bakat kemahiran insaniah mereka dalam menyampaikan ilmu dengan lebih efektif dan efisien.

Pengarah program, Azza Ainal berkata, mereka yang dilantik menjadi ahli jawatankuasa hendaklah terus komited dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengajar kepada murid sekolah yang terlibat.

Tuturnya, dengan adanya program sedemikian, ia dapat menyumbang kepada persediaan menjadi bakal graduan dan warga pendidik yang unggul pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr Arifin Abdu memberitahu, universiti wajar mengambil inisiatif membantu masyarakat berpendapatan rendah dengan prespektif pendidikan yang kondusif di UPM.

“Usaha pelajar UPM dan KMB ini juga dilihat selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Membangun Malaysia Madani dari aspek pendidikan di mana reformasi pendidikan menuntut penerapan pemikiran kritis dan kreatif termasuk konsep ihsan.

“Malah program tuisyen ini walaupun kecil ia menyokong pembinaan sebuah masyarakat madani yang bersifat ihsan, peduli dan merasai kepertian orang miskin seperti yang terkandung dalam gagasan Malaysia Madani,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp