Sebahagian penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kali Ke-9 baru-baru ini.
Sebahagian penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kali Ke-9 baru-baru ini.

Rahsia 2 penerima Anugerah Pengarah PJK dalam pengajian

ROSHLAWATY MD RAIEH
19 May 2023 12:56pm
A
A
A

Dua graduan Politeknik Jeli Kelantan (PJK) diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengarah sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kali Ke-9 pada Isnin.

Mereka ialah Nurfaizah Rosdi dan Muhammad Afiq Daniel Wee Muhammad Wee, masing-masing berusia 22 tahun dan merupakan graduan jurusan Diploma Akuakultur.

Menurut Nurfaizah, penganugerahan yang diterimanya itu membuktikan segala penat lelah selama ini berbaloi.

“Saya belajar ketika negara berhadapan pandemik Covid-19. Banyak kesukaran dan kesulitan yang harus ditempuhi sepanjang pengajian.

“Paling tidak dapat dilupakan apabila terpaksa belajar di kampus (Kelantan) kerana menghadapi masalah internet di rumah yang terletak di Jempol, Negeri Sembilan,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Nurfaizah, di Kelantan juga sukar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan individu untuk menaiki bas, makan di kafeteria dan berada di lokasi lain.

"Jadi saya dan rakan-rakan terpaksa belajar sendiri dalam suasana yang belum pernah dihadapi sebelum ini,” ujarnya berkongsi cerita ketika zaman belajar.

Sementara itu, Muhammad Afiq Daniel Wee pula berkata, sokongan kedua ibu bapanya adalah faktor utama dia berjaya melakar kejayaan dalam pengajian hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberi nasihat dan motivasi walaupun ada ketikanya saya hampir putus asa," ujar graduan ini.

Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kali Ke-9 menyaksikan seramai 319 graduan menerima Diploma Agroteknologi dan Diploma Akuakultur bagi Sesi II 2021/2022 dan Sesi I 2022/2023.

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan memperkenalkan Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula sesi Julai nanti.

Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, program tersebut merupakan inisiatif baharu dalam usaha memperkasakan program TVET termasuk bidang akuakultur dan agro pertanian.

"Program ini dikhususkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memberi ruang dan peluang mereka menyertai program yang dikendalikan bersama rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

"Rangkaian MTUN yang terlibat adalah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Malah Program Asasi TVET ini turut ditawarkan di Politeknik Premier Ungku Omar, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Merlimau, Politeknik Sultan Ahmad Shah dan Politeknik Tun Syed Nasir," ujarnya selepas berakhir majlis konvokesyen berkenaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok