Nursuhaila diumum penerima Anugerah Kecemerlangan PTPTN baru-baru ini.
Nursuhaila diumum penerima Anugerah Kecemerlangan PTPTN baru-baru ini.

Raih 6 kali Anugerah Dekan, Nursuhaila tidak lokek kongsi rahsia kejayaan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
25 Jul 2023 05:26pm

Aktif dalam aktiviti kokurikulum dan kesibukan mengulang kaji pelajaran tidak pernah menjadi penghalang buat Nursuhaila Tasman, 25, untuk merangkul Anugerah Kecemerlangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.

Baginya, jika bijak membahagikan masa, seseorang itu mampu mengenggam pelbagai anugerah dan pencapaian di universiti mereka sendiri.

Ketika dihubungi Sinar Bestari, Nursuhaila yang merupakan anak kelahiran Kajang, Selangor memberitahu, Anugerah Kecemerlangan PTPTN yang diperoleh itu bagaikan satu kejutan buat dirinya.

Ini kerana beberapa kriteria perlu dipenuhi sebelum diangkat sebagai penerima anugerah.

“Saya difahamkan empat kriteria telah dinilai iaitu penerima perlu mencapai purata gred kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas; memiliki sahsiah baik; aktif kokurikulum serta mahir dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Alhamdulillah, segala kriteria itu berjaya dipenuhi dan saya bersyukur kerana telah terpilih untuk meraih anugerah berkenaan.

“Insya-ALLAH, saya akan memanfaatkan segala kemahiran dan ilmu dengan sebaik mungkin,” ujarnya yang mendapat enam kali Anugerah Dekan sepanjang empat tahun pengajian.

Nursuhaila
Nursuhaila

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, lulusan Sarjana Muda Kaunseling Dengan Kepujian ini berkata, untuk berjaya dalam pengajian bukanlah semudah yang disangkakan.

Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan jika diri mahu berjaya seperti tokoh ternama sedia ada.

“Macam saya sendiri...saya bukanlah dilahirkan sebagai pelajar bijak sewaktu di bangku sekolah dahulu.

“Saya hanyalah pelajar ‘biasa-biasa’ sahaja yang sering mendapat keputusan peperiksaan kurang cemerlang.

“Bagaimanapun, kata-kata Cikgu Inah Mohd Yusuf telah membuatkan saya berubah serta merta. Katanya, kegagalan sekarang bukan kegagalan selama-lamanya. Kita harus bangkit untuk terus membina kejayaan. Fikirkan ibu bapa yang bersusah payah mencari rezeki demi memberi pelajaran,” ujar anak kedua daripada tiga adik beradik ini.

Nursuhaila (tengah) bersama adik beradiknya yang sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain.
Nursuhaila (tengah) bersama adik beradiknya yang sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain.

Susulan kata-kata Cikgu Inah, Nursuhaila mula belajar dan terus belajar sehingga dia berjaya melanjutkan pengajian ke UUM sekali gus merangkul anugerah khas pada Majlis Konvokesyen tersebut.

Akhir sekali, Nursuhaila menitipkan sedikit nasihat kepada adik-adik yang baru sahaja melanjutkan pengajian ke UUM.

“Belajarlah dengan bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita dan impian selama ini.

“Jika gagal, jangan cepat putus asa. Teruskan berusaha kerana setiap kegagalan itu pasti ada hikmah disebaliknya. Insya-ALLAH, kejayaan pasti menanti di hadapan,” akhiri anak pasangan Tasman Zainal Aripin dan Eni Djuman kepada Sinar Bestari.

Ibu bapa Nursuhaila yang sentiasa mendoakan kejayaan buat ketiga-tiga anaknya itu.
Ibu bapa Nursuhaila yang sentiasa mendoakan kejayaan buat ketiga-tiga anaknya itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp