Raja Permaisuri Agong cemar duli melawat MMU
Baru-baru ini, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli melawat Universiti Multimedia (MMU) bagi menyempurnakan Persidangan Dunia Tiga Tahun Sekali Ke-30 Persidangan Wanita Desa Sedunia (ACWW).
Persidangan yang berlangsung di kampus MMU itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan tarian budaya, pembentangan buku Durian Cook Book, pameran inovasi sosial Lorong Belakang serta sebuah pasar malam komuniti yang ditubuhkan dan dijalankan oleh golongan muda di Cyberjaya.
Menurut Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud, warga universiti berbesar hati dan berbangga di atas kesudian Raja Permaisuri Agong menyempurnakan persidangan tersebut selain menjadikan universiti sebagai lokasi pilihan untuk mengadakan lawatan.
“MMU amat menghargai peluang yang diberikan dalam menyumbang ilmu teknikal dan multimedia dalam persidangan ini.
“Pihak universiti juga berharap dengan penganjuran persidangan kali ini dapat menepati dan memenuhi jangkaan Raja Permaisuri Agong,” katanya.
Hadir sama dalam persidangan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM), Datuk Imri Mokhtar; Presiden ACWW, Magdie de Kock dan Pengasas Masters of Malaysia Cuisine (MoMC), Jackie Macedo.
Pada persidangan itu juga anggota ACWW turut mengikuti sesi jelajah kampus melibatkan lawatan ke makmal Tanaman Pintar, Kediaman Pintar, Ruang Teknologi Inovasi Hibrid, infrastruktur 5G dan Technologi Penuaan Masyarakat.
Bukan itu sahaja, mereka juga menyaksikan produksi layar hijau, teknologi multimedia untuk warisan kebudayaan, kandungan dan teknologi serta kesan tangkapan gerakan dan juga pameran seni senimatik yang dibangunkan di MMU selain menikmati hidangan tengah hari bersama Raja Permaisuri Agong.