Suasana Ramadhan Free Market PSMZA yang dikunjungi pekerja kebersihan, pelajar dan orang awam sekitar Dungun.
Suasana Ramadhan Free Market PSMZA yang dikunjungi pekerja kebersihan, pelajar dan orang awam sekitar Dungun.

Ramadhan Free Market platform raih pahala

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 Apr 2024 12:36pm

Program Ramadhan Free Market antara platform meraih pahala berganda di bulan Ramadan yang mulia ini.

Ia kerana, Ramadhan Free Market secara tidak langsung dapat meringankan beban dan memberi kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan menerusi pemberian barangan keperluan.

Baru-baru ini, Kelab Kakitangan Staf (Sclub) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, Terengganu menganjurkan program sedemikian bagi meraih ganjaran pahala dengan membantu pihak memerlukan.

Program yang berkonsepkan pengumpulan kelengkapan harian seperti pakaian, mainan, beg dan pakaian sekolah disumbangkan pensyarah dan kakitangan PSMZA.

Sesi agihan barangan tersebut terbuka kepada warga politeknik dan komuniti sekitar Dungun untuk mendapatkan keperluan harian secara percuma.

Menurut Pengarah PSMZA, Zamra Derahman, program tahun ini tetap meriah seperti tahun sebelumnya sekali gus memanfaatkan hampir kesemua pekerja kebersihan, pengawal keselamatan, para pelajar dan orang awam sekitar Dungun.

“Ia wajar diteruskan kerana dapat memupuk amalan bersedekah di samping menunjukkan kita sebagai penjawat awam sentiasa prihatin kepada golongan kurang bernasib baik,” ujarnya.

Sementara itu, selain Ramadhan Free Market, pihak politeknik turut membuka kaunter pembayaran zakat fitrah di ruang legar Dewan Dagang.

Artikel Berkaitan:

Juga disediakan kaunter promosi yang membolehkan orang awam berurusan tentang kemasukan pelajar ke PSMZA.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp