Tangkap layar video di TikTok Zulfiqar yang tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila dapat pulang beraya di kampung.
Tangkap layar video di TikTok Zulfiqar yang tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila dapat pulang beraya di kampung.

Reda tidak dapat pulang beraya, mahasiswa terkejut dan gembira ada yang sudi taja tiket penerbangan 

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
27 Apr 2023 03:44pm

Siapa tidak sedih dan hiba apabila kemeriahan sambutan Aidilfitri yang sepatutnya diraikan bersama keluarga tercinta di kampung halaman terpaksa dilupakan disebabkan beberapa kekangan.

Itulah perasaan yang terpaksa dilalui Zulfiqar, mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kampus Kuantan, Pahang, yang tidak berkesempatan untuk pulang ke rumah keluarganya di Sabah.

Memetik luahannya di dalam satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok miliknya pada 18 April lalu, Zulfiqar memaklumkan, dia tidak mampu untuk pulang beraya pada tahun ini disebabkan harga tiket penerbangan yang mencanak naik ketika musim perayaan.

“Tipulah kalau saya kata tidak sedih melihat rakan-rakan lain pulang ke kampung seorang demi seorang.

“Tapi apakan daya saya memandangkan harga tiket penerbangan mahal dan saya sebagai mahasiswa tidak mampu untuk membelinya,” luah mahasiswa jurusan perubatan itu.

Tangkap layar video di TikTok Zulfiqar yang sebelum ini berkongsi rasa hiba tidak dapat pulang beraya disebabkan harga tiket mahal.
Tangkap layar video di TikTok Zulfiqar yang sebelum ini berkongsi rasa hiba tidak dapat pulang beraya disebabkan harga tiket mahal.



Namun siapa sangka kuasa tular di aplikasi itu berjaya membuatkan impian Zulfiqar untuk beraya bersama keluarga menjadi kenyataan apabila muncul seorang insan berhati mulia yang tidak mahu mendedahkan identitinya telah menawarkan untuk menaja penerbangan berkenaan.

Insan tersebut turut menaja penerbangan Zulfiqar bersama seorang rakannya untuk pulang ke Sabah bagi meraikan hari lebaran itu.

Berasa syukur tidak terhingga, Zulfiqar memaklumkan dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira kerana tidak akan beraya berseorangan di kampus.

Artikel Berkaitan:


Dalam video yang dimuat naik itu, dia sempat menyertakan sekeping foto yang menunjukkan dua tiket penerbangan Malaysia Airlines, pertamanya dari Kuantan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seterusnya dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 21 April lalu.

Video tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 2 milion, 196,100 tanda suka dan 3,948 komen.

Sinar Bestari sempat menjengah ke ruangan komen dan mendapati rata-rata warga maya mendoakan insan yang sudi menaja tiket penerbangan dua mahasiswa daripada Sabah itu sentiasa dipermudahkan urusan hidupnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp