Rewang Iftar SMSS beri pengalaman berharga kepada mahasiswa FPHP yang terlibat.
Rewang Iftar SMSS beri pengalaman berharga kepada mahasiswa FPHP yang terlibat.

Rewang Iftar SMSS cipta pengalaman berbeza kepada mahasiswa FPHP

ROSHLAWATY MD RAIEH
18 Apr 2023 10:42am
A
A
A

Seramai 42 mahasiswa Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, terlibat dalam program tanggungjawab sosial universiti (USR) di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program dikenali Rewang Iftar SMSS itu membabitkan penyertaan dalam kalangan pensyarah dan mahasiswa FPHP yang menyumbang tenaga serta kepakaran memberikan khidmat kepada komuniti sekolah di samping menyebar luas peluang melanjutkan pengajian ke UiTM.

Menurut Pengarah Program, Hazmal Ismail, penganjuran aktiviti bersempena bulan Ramadan itu adalah sebahagian daripada hasrat FPHP memberikan pengalaman kepada penuntut menerusi aktiviti kesukarelawan dan khidmat komuniti.

Kata Hazmal, terdapat tiga komponen utama dalam program tersebut iaitu aktiviti penyediaan juadah berbuka puasa, program pemindahan pengetahuan dan aktiviti keusahawanan pelajar, Nuri Teenpreneur oleh Bank Rakyat.

“Program ini begitu istimewa sekali kerana mahasiswa FPHP yang mengikuti kursus seni kulinari diberi peluang menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh dalam skala besar iaitu seramai 800 orang warga SMSS,” ujar Hazmal selaku Pensyarah Kanan FPHP.

Hazmal
Hazmal

Tambah Hazmal, pendedahan yang diberikan kepada mahasiswa terlibat amat berbeza dengan suasana pembelajaran di fakulti kerana mereka hanya menyediakan makanan dalam kuantiti yang kecil.

“Di sini penuntut berpeluang untuk memasak menu berbuka dan moreh dalam kuantiti besar sekali gus memberikan nilai tambah kepada pengembangan kemahiran serta bakat mereka.

Artikel Berkaitan:

“Manakala melalui program pemindahan pengetahuan pula, kumpulan pensyarah FPHP telah berinteraksi dan membimbing pelajar sekolah ini berkaitan penyediaan bubur lambuk, taklimat industri pelancongan di negara ini, kebersihan dan keselamatan makanan, sesi khas panduan peranggu meja (table setting) dan etika di meja makan,” jelasnya.

Sementara itu, aktiviti keusahawanan Nuri Teenpreneur yang berlangsung pada program tersebut menyaksikan kumpulan pelajar SMSS terdiri daripada kelab dan persatuan yang membuka gerai makanan hingga menjadikan suasana bazar Ramadan di dalam kawasan sekolah meriah.

“Aktiviti yang ditaja Bank Rakyat ini bertujuan memupuk ilmu keusahawanan dalam kalangan pelajar di samping memberi pendedahan dan pengalaman kepada peserta terlibat," ujarnya.

Aktiviti keusahawanan Nuri Teenpreneur membabitkan penglibatan pelajar SMSS yang terdiri ahli kelab dan persatuan sekolah.
Aktiviti keusahawanan Nuri Teenpreneur membabitkan penglibatan pelajar SMSS yang terdiri ahli kelab dan persatuan sekolah.

Dalam pada itu, hasil kejayaan Rewang Iftar SMSS, fakulti merancang beberapa lagi aktiviti USR berimpak tinggi melibatkan pemerkasaan komuniti, penyebaran maklumat, peluang ke IPT dan pendedahan jaringan industri serta kemasyarakatan kepada mahasiswa.

“Insya-ALLAH, aktiviti-aktiviti bermanfaat ini akan kita adakan pada tarikh yang bakal ditentukan kelak.

“Di sini, saya ingin mengambil kesempatan dan melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program USR berkenaan.

“Sokongan dan kerjasama erat daripada dekan dan pengurusan FPHP; Pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan, Jaringan dan Industri; pensyarah FPHP; Persatuan Alumni SMSS, Bank Rakyat dan barisan guru serta pentadbir sekolah telah berjaya merealisasikan Rewang Iftar SMSS di mana maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan,” jelasnya.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok